AFC Cup: Selangor Lebur Rekod Tanpa Kalah Hanoi T&T

SHAH ALAM, 1 April — Pasukan Selangor meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu Kumpulan F, Hanoi T&T selepas mengalahkan pasukan dari Vietnam itu 3-1 pada perlawanan peringkat Kumpulan, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Shah Alam malam ini.

Pasukan ‘Gergasi Merah’ bermula garang apabila membuka jaringan pada minit ke-20 hasil tandukan deras yang dilakukan penyerang berbisanya, Paulo Rangel.

Penyerang berasal dari Brazil itu kemudiannya menggandakan jaringan menerusi rembatan deras kaki kanan pada minit ke-31 setelah menerima hantaran rakan sepasukan Abdul Hadi Yahya.

Pasukan Hanoi T&T kemudiannya merapatkan jurang mata menerusi sepakan penalti yang dilakukan Gonzalo Marronkle pada minit ke-35.

Paulo terus beraksi cemerlang apabila mencipta hatrik dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua perlawanan, Selangor terus menguji gawang gol pasukan Hanoi T&T namun cubaan yang dilakukan S.Kunalan pada minit ke-47 gagal menghasilkan jaringan.

Terdesak dengan ketinggalan 1-3, pasukan pelawat mula mengasak pertahanan Selangor namun gagal menghasilkan jaringan pada minit-minit akhir perlawanan.

Sebelum itu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan F yang berlangsung di sebelah petang, Pasukan Arema Indonesia mengalahkan pasukan Maziya Sports & Recreation dari Maldives 3-2 di Stadium Kanjuruhan, Malang, Indonesia.– BERNAMA

Highlights – LIKE Facebook untuk highlights terkini