Wan Zack beri ‘lampu hijau’ kepada Kelantan?

KELANTAN dilaporkan telah berjaya melamar sayap lincah Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Nor menjelang pintu perpindahan pemain yang akan kembali dibuka 24 Mac ini.

Walaupun masih lagi memiliki baki kontrak setahun dengan kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, Wan Zack, 23, dikatakan telah memberi ‘lampu hijau’ untuk menyertai Kelantan.

Menurut sumber yang rapat dengan Wan Zack, anak jati Maran, Pahang itu dijangka diperkenalkan sebagai pemain baharu The Reds Warriors dalam satu sidang akhbar Isnin ini.

Selain Wan Zack, Kelantan juga bakal mengumumkan Brendan Gan sebagai pemain baharu musim ini.

“Wan Zack akan menyertai Kelantan selepas ini dan pengumuman itu dijangka dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada satu sidang akhbar khas.

“Benar, dia masih belum lagi sembuh daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanan tetapi Kelantan tidak rela khidmat Wan Zack terlepas ke tangan pasukan lain,” katanya semalam.

Ketika ditanya mengenai kontrak bersama KAFA, sumber itu memberitahu: “Saya tidak tahu mengenai tempoh kontrak tersebut tetapi apa yang pasti, Wan Zack bersetuju untuk menyarungkan jersi Kelantan.”

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan mengaitkan Wan Zack berhasrat untuk kembali beraksi beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), namun perkhabaran itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak pengurusan FC Ryukyu.

Begitupun, keputusan Wan Zack Haikal untuk menyertai Kelantan bukanlah sesuatu yang agak mengejutkan.

Ini kerana, Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa sudah memberi gambaran awal menerusi status Facebook miliknya dengan menyatakan The Red Warriors akan membawa masuk tiga pemain bintang tempatan termasuk dua daripadanya bertaraf antarabangsa.

Jika benar Wan Zack kembali beraksi dalam Liga M, dia akan mengikut jejak langkah seorang lagi bekas pemain Harimau Muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Nazmi Faiz yang menamatkan kontrak awal dengan kelab dari Portugal S.C Beira-Mar, membuat keputusan mengejut apabila kembali ke tanah air untuk menyertai pasukan berstatus kelab, PKNS FC. – Kosmo