United susun perancangan jika gagal ke pentas Eropah

LONDON – Manchester United berhasrat untuk mengadakan beberapa siri perlawanan di luar England sekiranya terlepas peluang untuk beraksi di pentas Eropah, musim depan.

Gergasi Old Trafford itu berkemungkinan tidak dapat menempatkan diri dalam saingan Liga Juara-Juara untuk kali pertama dalam tempoh 19 tahun dan mungkin turut gagal untuk ke saingan Liga Europa.

Kemungkinan itu memperlihatkan Wayne Rooney yang menerima gaji AS$502,000 (RM1.64 juta) seminggu dan rakan-rakannya akan menjelajah mengelilingi dunia.

Mereka berpeluang beraksi bersama kelab baharu milik David Beckham, Miami iaitu francais kepada Liga Bola Sepak Utama (MLS) yang berpangkalan di Florida.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu kini berada di tangga keenam, kekurangan 11 mata untuk menduduki tempat keempat dengan baki 11 perlawanan musim ini.

Pasukan itu berkemungkinan gagal ke pentas Eropah secara keseluruhan kecuali berjaya memperbaiki persembahan mereka bermula sekarang hingga Mei ini.

Sekiranya David Moyes gagal membawa United ke saingan UEFA, maka Red Devils dijangka mengalami kerugian besar sebanyak AS$41.89 juta (RM137.2 juta).

Kelab itu mungkin akan mempertimbangkan untuk menampung kerugian yang bakal dialami dengan mengadakan perlawanan persahabatan semasa minggu Liga Juara-Juara dan Liga Europa pada 2014-2015.

United sering menolak tawaran bernilai jutaan ringgit untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan sebelum ini dan musim depan tiada sebarang halangan bagi kelab itu berbuat demikian termasuk memenuhi undangan di Asia Barat serta Amerika Syarikat. – AGENSI