Ultra Malaya tidak mahu ‘berbaik’ dengan FAM

KUMPULAN penyokong yang menggelarkan diri mereka Ultras Malaya enggan mengadakan sebarang perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kekacauan yang lakukan semasa perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu lalu.

Jurucakap Ultras Malaya yang enggan namanya didedahkan berkata sudah terlambat untuk membincangkan sebarang perkara antara kedua-dua pihak.

“Sebelum ini kami pernah guna saluran yang betul untuk menyampaikan ketidakpuasan hati kami terhadap FAM, tetapi ia tidak diendahkan badan induk bola sepak negara itu. Jadi sekarang kita tunggu dan lihat sahaja,” katanya semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai hasrat FAM untuk mencari penyelesaian terbaik bagi meredakan ketegangan membabitkan kumpulan itu yang bertindak membakar suar dan mercun ketika perlawanan persahabatan tersebut sehingga menyebabkan permainan terpaksa dihentikan selama lapan minit.

Jurucakap itu berkata pihaknya mahu menyampaikan mesej kepada FAM dan berharap ia berubah demi masa depan bola sepak tanah air.

Semalam, akhbar tempatan melaporkan bahawa Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa pihaknya akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah dengan sekumpulan penyokong yang menggelar diri mereka Ultras Malaya.

Tengku Abdullah bertitah, polemik yang melanda ke dua-dua belah pihak bukan perkara baharu dan ia perlu diselesaikan segera bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk.

“Perbuatan menimbulkan kekecohan dalam sesuatu perlawanan bukan cara untuk menyelesaikan sebarang masalah. Ia hanya mengundang padah,” titah Tengku Abdullah.

Begitupun, Ultras Malaya menyifatkan pelawaan untuk berbincang sudah terlambat dan apa yang ditunjukkan oleh mereka merupakan isyarat kepada FAM untuk berubah demi masa depan bola sepak negara. – Bernama