Tunku Ismail mungkin bertanding Kongres FAM

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk bertanding dalam Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bakal diadakan pada 25 Mei depan.

Begitupun, Tunku Ismail berkata, baginda hanya akan ‘turun’ bertanding dalam sesi pemilihan Exco Tertinggi FAM bagi penggal 2014-2018 itu jika mendapat sokongan daripada ahli gabungan FAM.

Sebelum ini, FAM mengumumkan bahawa sesi pemilihan tersebut bakal mempertandingkan jawatan tertinggi dalam badan induk bola sepak negara itu termasuk kerusi Presiden FAM.

Selain jawatan tersebut, turut dipertandingkan ialah kerusi Timbalan Presiden (dua orang), Naib Presiden (empat orang) dan 10 ahli Exco yang terdiri daripada lapan calon lelaki dan dua wanita.

“Mengenai perkara itu, saya masih tidak mempertimbangkan lagi. Saya hanya mahu memberikan perhatian kepada bola sepak Johor. Saya tidak tahu dan saya tidak terfikir sejauh itu.

“Itu atas pilihan ahli-ahli gabungan (FAM), terpulang kepada mereka, kepada siapa mereka pilih nanti tetapi saya tidak terfikir sejauh itu,” jelas Tunku Ismail ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sebelum ini, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyarankan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), antara calon yang layak bertanding bagi merebut jawatan Presiden FAM.

Ketika diminta mengulas mengenai surat pertuduhan yang dikeluarkan FAM kepada pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) ekoran insiden ‘Terowong Larkin’ pada 1 Februari lalu, Tunku Ismail menjawab: “Sejujurnya, saya tidak baca lagi (surat pertuduhan). Mungkin surat pertuduhan sudah ada tetapi tujuan saya datang ke sini (Kuala Lumpur) untuk memberikan sokongan kepada Johor DT (menentang Felda United) di Selayang esok (malam ini).” – Kosmo