Tokoh korporat sesuai jadi Presiden FAM – Shebby

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan dan pengulas sukan, Serbegeth Singh berpendapat sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diterajui seorang tokoh yang bukan saja hebat dalam mentadbir tetapi juga bijak dalam menjana pendapatan buat badan induk itu.

Baginya, sesiapa saja layak untuk tampil dan bertanding merebut kerusi Presiden FAM kerana ia bukan hak mutlak mana-mana pihak selagi ahli gabungan mempercayai ketokohan seseorang itu.

“Saya berpendapat sudah tiba masanya tokoh korporat juga diberi peluang merebut kerusi itu. Ini kerana kita bukan saja mahukan orang yang bagus semata-mata dalam mentadbir, bahkan kita juga seharusnya bijak menjana pendapatan dengan menjadikan liga tempatan sebagai platform.

“Berbekalkan sumber kewangan kukuh, saya yakin setiap persatuan bola sepak di negeri mampu bergerak lebih aktif.

“Tapi perlu juga ada perancangan rapi serta program khusus yang meliputi semua peringkat, bermula dari bawah hingga ke atas supaya akhirnya mutu bola sepak negara kita boleh meningkat dan bersaing dengan negara lain seperti Jepun atau Korea. – HMetro