TMJ, Tengku Abdullah cabar Presiden FAM

Kuala Lumpur: Selepas berdekad lamanya, akhirnya kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal dicabar selepas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) mendapat pencalonan untuk bertanding pada Mesyuarat Kongres Pemilihan badan induk itu pada 25 Mei ini.

Selain Tunku Ismail, penyandang jawatan Presiden Sultan Ahmad Shah serta anaknya yang juga Timbalan Presiden Tengku Abdullah turut mendapat pencalonan daripada ahli gabungan selepas proses pencalonan ditutup semalam.

“Tunku Ismail mendapat pencalonan apabila ada ahli gabungan berasakan mereka mahukan perubahan dalam kepimpinan FAM. Sememangnya sumbangan dan jasa Sultan Ahmad Shah bersama FAM dalam membangunkan bola sepak di Malaysia tidak dapat dinafikan namun ada ahli gabungan yang tidak gembira,” menurut sumber.

Setakat ini hanya Tunku Ismail dan Tengku Abdullah yang menyatakan keinginan untuk bertanding bagi kerusi presiden sekiranya mendapat sokongan ahli gabungan namun Sultan Ahmad Shah yang menerajui FAM sejak 1984 masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung pemilihan kali ini.

Biarpun Tunku Ismail yang berjaya membawa perubahan besar dalam bola sepak di Johor sejak kebelakangan ini tidak memberitahu secara terbuka namun beliau pernah menyatakan hasratnya untuk bertanding kepada Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa. – HMetro