Tiada siapa paksa saya sertai kelantan – Wan Zack

“TIADA sesiapa yang memaksa saya untuk kembali beraksi dalam liga tempatan. ia adalah atas kerelaan saya sendiri.”

Demikian tegas bekas pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal pada majlis memperkenalkan pemain baharu Kelantan di ibu negara semalam.

Wan Zack antara pemain baharu yang didaftarkan oleh Kelantan bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Menurut Wan Zack, keputusannya menyertaai Kelantan adalah atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Pemain berusia 23 tahun itu yang masih lagi mempunyai baki kontrak selama setahun bersama sebuah kelab Jepun, Ryukyu FC telah mengambil keputusan untuk menyertai pasukan The Red Warriors.

Meskipun pelbagai spekulasi timbul berhubung tindakannya menyertai pasukan tersebut, dia menjelaskan bahawa fokus utamanya hanyalah untuk berkhidmat di negeri kelahiran ibubapanya.

“Di sini saya boleh sentiasa dekat dengan ahli keluarga dan secara tidak langsung memberi motivasi kepada saya untuk beraksi dengan lebih baik.

“Saya juga boleh mempraktikkan segala kemahiran yang diperoleh ketika bersama Ryukyu FC untuk membantu Kelantan,” ujarnya.

Dia turut menegaskan bahawa keputusannya untuk menyertai Kelantan adalah tepat kerana ia dapat membantu mengembangkan kariernya.

Dia juga tidak menolak dakwaan bahawa terdapat beberapa kelab tempatan telah menghubunginya sebelum ini untuk mendapatkan khidmatnya.

Wan Zack adalah antara tiga tonggak baharu pasukan Kelantan yang diperkenalkan oleh penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Anuar Musa pada satu sidang akhbar khas di ibu negara semalam.

Dua lagi pemain yang bakal menyarung jersi The Red Warriors ialah Brendan Gan, 25, yang pernah beraksi dalam kesemua 48 perlawanan Liga A di Australia dan bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Fitri Omar, 28.

Mengulas lanjut mengenai pemain-pemain tersebut, Tan Sri Annuar Musa menyifatkannya sebagai satu usaha jangka panjang untuk memperkasakan skuad Kelantan berikutan perpindahan ramai pemainnya pada awal musim lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kos yang ditanggung bagi membawa ketiga-tiga pemain tersebut beraksi bersama pasukan The Red Warriors.

Sementara itu RAMAI beranggapan keputusan Wan Zack Haikal berhijrah ke pasukan Kelantan adalah keputusan yang salah.

Pemain tersebut seharusnya mengembangkan kariernya dengan kelab Jepun setelah berpeluang untuk beraksi bersama kelab luar negara.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa tampil dengan penjelasan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak wajar.

“Ini adalah antara masalah rakyat kita. Mereka berpendapat apa yang berkaitan dengan luar negara adalah lebih baik berbanding tempatan.

“Sebenarnya tidak wujud sebarang masalah sama ada bermain baik di dalam mahupun luar negara, yang penting adalah prestasi yang dipamerkan,” katanya pada sidang media khas memperkenalkan pemain-pemain baharu Kelantan di ibu negara semalam.

Sementara itu, ekoran perpindahan Wan Zack Haikal dari kelab Ryukyu FC, Kelantan turut berjaya menjalin hubungan dengan kelab tersebut yang akan membuka peluang kepada pemain-pemain tempatan lain untuk beraksi bersama kelab dari Jepun tersebut.

Musim ini, Kelantan agak goyah apabila kehilangan beberapa tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain pada awal musim ini.

Menurut Annuar, penghijrahan tersebut memberi impak yang besar kepada pasukan tersebut dan ia agak mustahil dapat diatasi dalam tempoh jangka masa pendek.

“Kami akan melakukan apa sahaja yang termampu demi kepentingan bola sepak Kelantan khususnya dan negara amnya,” tegas beliau lagi. – Kosmo