Tawaran lumayan LA Galaxy buat Lampard

London: Bintang tengah Chelsea dan England, Frank Lampard dijangka bersedia ditawarkan kontrak lumayan RM21.81 juta (£4 juta pound) oleh kelab Liga Bola Sepak Amerika (MLS), LA Galaxy.

Pemain berusia 35 tahun itu dikatakan hampir berpindah ke liga berkenaan penghujung musim lalu sebelum perbincangan yang dilakukan di Stamford Bridge bersama pengurus, Jose Mourinho mengubah pendiriannya.

Sentiasa pantau

Begitupun, dengan kekurangan aksi bersama skuad The Blues ketika ini, kelab dari Amerika Syarikat (AS) itu yang sentiasa memerhati perkembangannya dilihat bersedia untuk menyambarnya.

Berdasarkan laporan akhbar dari England, Galaxy sudah bersedia menyerahkan kontrak selama setahun bagi memancingnya ke AS dengan Chelsea pula dijangka akan menambah kontraknya selama setahun.

Bekas penyerang Tottenham Hotspurs, Robbie Keane dan legenda AS, Landon Donovan antara dua daripada tiga pemain Galaxy yang menerima bayaran gaji di atas tangga gaji maksimum MLS. – Agensi