T-Team uji penyerang kelab Portugal

Kuala Terengganu: T-Team bakal menguji bekas penyerang kelab Portugal, Sporting Lisbon, Carlos Saleiro bagi mengisi tempat Evaldo Rogrigues menjelang pintu perpindahan Liga Malaysia (Liga-M) dibuka Isnin ini.

Penyerang kelahiran Lisbon itu dijangka tiba di Terengganu selewat-lewatnya minggu depan bagi dinilai oleh ketua jurulatih, Azraai Khor Abdullah.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh, berkata penyerang berusia 28 tahun itu dikatakan berminat untuk datang mencuba nasib beraksi dengan The Titans dalam Liga-M.

Katanya, pemain yang memiliki ketinggian 1.85 meter itu juga dikenal pasti calon terbaik untuk menerajui bahagian serangan T-Team yang kini dilihat kurang membantu pasukan menghasilkan gol.

“Kali ini, kita akan pilih dan mengambil pemain import yang betul-betul berkualiti saja. Kita tidak mahu mengulangi kesilapan dengan mengikat pemain yang gagal membantu pasukan.

“Masa terdekat ini, kita akan menguji Saleiro dan jika bagus, kita akan ambil. Kita tidak mahu mengambil pemain sebarangan dengan hanya gah pada nama dan pasukan yang pernah diwakili sebelum ini,” katanya semalam.

Sebelum ini, pemain kelab Stoke City yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL), Stephen Ireland disebut-sebut antara pemain Eropah yang berminat menyarung jersi T-Team.
Tinggal Stoke City

Pemain tengah berusia 27 tahun itu dikatakan bakal meninggalkan kelabnya, Stoke City untuk beraksi dengan The Titans.

Mengulas lanjut, Ab Rasid berkata tumpuan pihaknya kini kepada Saleiro yang pernah menyarung jersi skuad Bawah 21 tahun Portugal dari 2007 hingga 2009.

Katanya, Saleiro yang pernah mewakili Vitoria Setubal pada 2008, Academica (2009), Servette (2011-2012) dan Academica (2012-2013) adalah calon yang dinantikan The Titans.