Sultan Ahmad Shah masih pilihan ahli gabungan

MESKIPUN berdepan kritikan daripada peminat bola sepak tempatan, tetapi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah tetap menjadi pilihan untuk menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Beberapa ahli gabungan FAM masih memiliki kepercayaan penuh dengan kepimpinan Sultan Ahmad Shah apabila mencalonkan baginda untuk mempertahankan jawatan tersebut pada Kongres FAM pada 25 Mei nanti.

Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim muncul sebagai calon popular untuk bertanding jawatan tersebut.

Begitupun, ahli-ahli gabungan FAM nampaknya tetap menagih khidmat Sultan Ahmad Shah bagi menerajui FAM untuk penggal 2014-2018.

Sumber dalaman FAM menjelaskan, tiga calon tersebut telah dicalonkan oleh beberapa ahli gabungan untuk bertanding kerusi tertinggi badan induk bola sepak negara itu.

“Benar, tiga calon iaitu Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah dan Tunku Ismail telah dicalonkan untuk jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-50 FAM itu nanti.

“Seperti yang kita tahu, Tengku Abdullah dan Tunku Ismail dikatakan telah dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden tetapi ada juga ahli-ahli gabungan FAM turut mencalonkan Sultan Ahmad Shah bagi mengisi kerusi utama FAM itu.

“Ternyata, ahli-ahli gabungan FAM masih menagih khidmat Sultan Ahmad Shah dan itulah yang saya dapat tahu selepas tarikh pencalonan ditutup pada 25 Mac lalu,” kata sumber tersebut kepada Kosmo! semalam.

Selain jawatan Presiden FAM, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah bakal bersaing dengan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal bagi merebut dua slot untuk jawatan Timbalan Presiden FAM.

Andai kata Tengku Abdullah dilantik sebagai Presiden baharu FAM, sumber tersebut tidak menolak kemungkinan kedua-dua calon tersebut bakal mengisi dua jawatan Timbalan Presiden.

Namun, jika Tengku Abdullah masih berjaya mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM, Afandi dan Subahan bakal muncul sebagai salah seorang calon popular untuk mengisi satu lagi jawatan Timbalan Presiden.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundram dikatakan menjadi calon popular untuk bersaing salah satu daripada empat kerusi Naib Presiden FAM.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM bakal mempertandingkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden (dua), Naib Presiden (empat) dan 10 ahli exco yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita pada kongres itu nanti. – Kosmo