Stephen Ireland berminat sertai T-Team

Kuala Terengganu: Beberapa pemain ternama yang kini sedang beraksi dalam Liga Eropah dikatakan berminat untuk menyarung jersi T-Team dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Antara pemain yang menyuarakan minat mereka termasuk pemain kelab Stoke City yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL), Stephen Ireland (gambar) yang mahu menyertai The Titans melalui pintu perpindahan Liga M yang akan dibuka tidak lama lagi.

Ejen Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) yang berpangkalan di Indonesia Felix Ndukwe berkata, pemain itu dikatakan sedang menimbang kemungkinan untuk bersama T-Team dan meninggalkan kelabnya jika tawarannya mendapat sambutan.

Ndukwe berkata, selain Ireland, ramai lagi pemain bola sepak dari Eropah menunjukkan minat untuk bermain di Asia terutama dalam Liga M.

“Pasukan T-Team cukup popular dengan pemain EPL kerana pernah dibimbing Peter Butler yang juga bekas pemain West Ham United dan West Bromwich Albion.

“Musim lalu, beberapa pemain EPL seperti George Boateng pernah menyarung jersi T-Team bersama bekas pemain Hull City, Kaleb Forlan.

“Jadi, bukan perkara pelik mengapa pemain Liga EPL atau Eropah berminat untuk menyertai T-Team,” katanya di Terengganu, semalam.

Ndukwe berkata, pemain EPL lain yang berminat untuk bermain di Liga M termasuk Kelvin Etuhu, Febian Brandy (Walsall), Clayton McDonald (Grimsby Town) dan Yawan Vidal.

“Saya agak terkejut pada mulanya untuk mendengar permintaan mereka yang menaruh harapan untuk beraksi di sini selepas mereka mengetahui Marcus Bent bermain di Indonesia dan Pablo Aimar di Malaysia bersama Johor Darul Ta’zim,” katanya.

Menurutnya, turut melahirkan minat beraksi dalam kancah Liga M adalah pemain kelahiran Nigeria, Stephen Makinwa yang pernah beraksi dengan kelab Itali, Reggina, Genoa, Atalanta, Palermo dan Lazio.

Ndukwe berkata, Makinwa yang menyarung jersi kelab Beijing Baxy, China musim lalu sedang mencari kelab Asia terutama di negara ini untuk diwakili.

“Saya yakin penyerang Nigeria ini akan beraksi dalam Liga M tapi dengan pasukan mana akan diketahui apabila pintu perpindahan dibuka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya juga sedang mencari pemain import baru menjelang pintu perpindahan dibuka.

Bagaimanapun, katanya pihaknya akan mengambil kudrat pemain import baru itu selepas jurulatih Azraai Khor Abdullah membuat penilaian prestasi terhadap pemain yang diuji.

“Jika benar Ireland dan beberapa pemain ternama berminat menyarung jersi T-Team, ia pasti khabar gembira buat kami.

Apapun, kami serahkan kepada jurulatih untuk menilai prestasi mereka,” katanya. – HMetro