Skuad takraw negara kempunan lagi

SKUAD sepak takraw Malaysia sekali lagi dikecewakan Thailand apabila tewas pada aksi final peringkat akhir Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) musim kedua di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.

Walaupun memberi saingan sengit pada set pertama, namun skuad bimbingan ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan itu terpaksa akur dengan dominasi Thailand dengan keputusan 12-15, 10-15, 7-15.

Malaysia yang membariskan pemain muda, Shahir Rosdi selaku tekong, Muqlis Borhan (apit kiri) dan Hanafiah Dolah (apit kanan) ternyata masih belum cukup matang untuk menggugat trio negara Gajah Putih tersebut.

Jamaluddin berkata, serangan yang tidak bervariasi telah menyebabkan Thailand yang dibimbing Komkrit Khamchan itu mudah menguasai perlawanan dalam tempoh 61 minit.

“Kurang kreativiti kerana pada awal perlawanan hantaran tinggi daripada Muqlis mudah dibaca Suphachai Maneenat (apit kanan).

“Kalau dilihat pada aksi tadi, rejaman dari sisi gelanggang dan hantaran pendek sahaja yang membantu kami meraih mata.

“Dari segi servis pula, tiga mata pertama yang tidak menjadi telah menyebabkan Shahir hilang keya- kinan, sebab itu saya tukar kepada Izurin Refin pada set kedua,” ujar Jamaluddin lagi.

Pelbagai pertukaran dilakukan dan aksi yang tidak menjadi yang ditampil Izurin turut mengubah rancangan regu negara yang kembali membawa masuk Shahir pada set ketiga.

Bagaimanapun Jamaluddin mengakui, beliau tetap berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya yang berjaya tampil konsisten untuk mara ke final bagi kesemua aksi Siri Super.

“Saya puas hati kerana walaupun kami menggunakan pemain- pemain baharu tetapi mereka mara ke final bermula di India, Thailand, Sabah dan di sini.

“Jika dilihat bagi semua siri tersebut, saya rasa aksi di Sabah ada- lah yang terbaik kerana kami dapat mencuri dua set (2-3) daripada Thailand,” ujar Jamaluddin. – Kosmo