RTM siar perlawanan Piala Dunia, Elak sejarah 1986 berulang

BAGI mengelak sejarah “Tajaan Rakyat Malaysia’ 1986 berulang, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi tampil sebagai penyiar utama percuma bagi menyiarkan siaran secara langsung pusingan akhir Piala Dunia 2014 di Brazil pada Jun depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ketika kempen Piala Dunia 1986 di Mexico, hak penyiaran siaran langsung ketika itu terlalu mahal dan tidak mampu ditampung mana-mana stesen televisyen termasuk RTM.

Disebabkan itu, kata beliau, satu kutipan derma telah dilancarkan warga Malaysia ketika itu bagi menyaksikan perlawanan menerusi siaran langsung kempen empat tahun sekali tersebut.

“Sekarang kos masih mahal, cuma kini sudah boleh mendapat sokongan penaja.

“Daripada jumlah lebih 6 juta seisi rumah ketika ini, separuh daripadanya masih belum memiliki siaran berbayar.

“Jadi, saya berbesar hati apabila RTM sekali lagi tampil sebagai penyiar utama percuma eksklusif yang menyiarkan siaran langsung kempen Piala Dunia kali ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kira Detik 100 Hari Piala Dunia 2014 di Angkasapuri, RTM semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Norhyati Ismail dan Ketua Pengarah Eksekutif Esprit Media Sdn.Bhd., Datuk Ahmad Zaharul Annuar selaku pemegang sub-pelesenan hak siaran langsung berkenaan di Malaysia.

Rahim Razali menjadi pengulas RTM ketika Piala Dunia 1986

Bagaimanapun, Shabery enggan mengumumkan jumlah kos bagi hak siaran tersebut yang bakal membuka tirainya pada 12 Jun sehingga 13 Julai nanti.

Dalam pada itu, Norhyati berkata, pihaknya berbesar hati dapat meneruskan liputan berkenaan sejak 40 tahun lalu bermula 1974.

Menurut beliau, pada pusingan akhir Piala Dunia kali ini, RTM bakal menyiarkan 35 perlawanan iaitu 24 perlawanan secara langsung manakala selebihnya tertunda.

Buat julung kalinya juga, katanya, RTM mendapat tawaran pakej rancangan percuma untuk tontonan penonton seperti aksi final edisi-edisi terdahulu, klip pendek serta dokumentari mengenai bintang-bintang bola sepak sejak era 1960-an sehingga sekarang.

“Buat masa ini, kami masih belum menerima maklumat perlawanan mana yang bakal disiarkan namun kami pasti ia akan membabitkan aksi pasukan gergasi.” – Kosmo