RTM dipilih penyiar rasmi Piala Dunia

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi memperoleh hak siaran eksklusif kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2014 yang berlangsung di Brazil mulai 12 Jun hingga 13 Julai depan.

Sebanyak 35 perlawanan meliputi 24 siaran langsung dan 11 siaran tertunda dengan siaran berdefinisi tinggi (HD) akan disiar menerusi TV1 dan TV2 bagi memenuhi permintaan rakyat yang tidak mampu memiliki siaran televisyen berbayar.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Norhyati Mohd. Ismail, dalam satu kenyataan hari ini, menyebut RTM menjadi penyiar utama bagi kejohanan empat tahun sekali itu sejak 1974.

“Siaran perlawanan ini nyata memenuhi permintaan rakyat yang meminati kejohanan itu tetapi tidak mampu memiliki siaran televisyen berbayar kerana menurut kajian lebih tiga juta rakyat daripada 6.4 juta isi rumah masih bergantung kepada penyiaran tidak berbayar yang disediakan kerajaan,” katanya.

Piala Dunia FIFA merupakan sukan nombor satu, paling berprestij dan diminati di seluruh dunia. – BERNAMA