Ramdan juara di Romania, buka mata BAM

Kuala Lumpur: Kecemerlangan pemain perseorangan lelaki Misbun Ramdan Misbun menjuarai Kejohanan Siri Antarabangsa Romania dengan menewaskan pencabar dari Poland Adrian Dziolka 15-21, 21-8, 21-16 di aksi final kelmarin, membuka mata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menyenaraikannya dalam pemilihan skuad Piala Thomas negara.

Setiausaha Kehormat BAM Ng Chin Chai, mengesahkan badan induk itu menjemput Misbun Ramdan ke sesi pemilihan skuad Piala Thomas di Stadium Juara, Bukit Kiara pagi ini bagi memilih barisan pemain untuk membawa cabaran negara di Wuhan, China dari 20-27 Mei ini.

“Saya ingin ucapkan tahniah atas kejayaan Ramdan di Romania. Itu menunjukkan permainannya semakin meningkat dan kita harus memberi dia peluang untuk merebut tempat dalam skuad Piala Thomas.

“Kami sudah menjemputnya ke sesi pemilihan esok (hari ini) yang akan dihadiri pemain serta barisan kejurulatihan bagi memilih yang terbaik sebelum kita menjalani latihan pusat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Misbun Ramdan, 23, yang juga anak kepada bekas jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek sebelum ini memilih haluan berbeza apabila mengikut jejak bapanya keluar dari pangkuan BAM.