Petikan gitar Steve Vai memukau peminat

Jika berbicara mengenai muzik rock, secara peribadi penulis lebih selesa menghayati lagu-lagu daripada ‘band’ berbanding gitaris solo atau instrumentalis seperti Joe Satriani, Jeff Beck, Eric Johnson, Yng­wie Malmsteen, Carlos Santana, Steve Morse, Zakk Wylde dan ramai lagi.

Dalam erti kata lain, penampilan ‘band’ yang lengkap dengan penyanyi, pemain gitar, bass, dram dan keyboard lebih dekat di jiwa penulis lebih-lebih lagi jika mereka memainkan genre rock seperti heavy metal, thrash metal, death metal, grunge, alternative dan punk rock.

Namun, kehadiran ‘virtuoso guitarist’ Steve Vai dalam konsert Steve Vai Live Tour In Kuala Lumpur di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Sabtu lalu dilihat sebagai sesuatu yang wajib ditonton.

Memegang reputasi sebagai pemuzik yang pernah memenangi tiga Anugerah Grammy serta jualan kesemua album mencecah 15 juta unit di seluruh dunia, Vai turut dikenali dengan gaya dan teknik permainan yang cukup luar biasa serta dikagumi ramai gitaris seluruh dunia.

Menggunakan gitar jenama Ibanez dan bertanggung­jawab menghasilkan siri gitar Ibanez JEM serta mereka model gitar tujuh tali dikenali sebagai Ibanez Universe, bu­nyian yang terhasil daripada gitar Vai cukup memukau dan unik.

Disebabkan ini, penulis akhirnya berdiri kira-kira lima meter daripada Vai bersama hampir 2,000 penonton menyaksikan gitaris berusia 53 tahun dari New York, Amerika Syarikat itu memainkan lagu Racing The World diiringi tiga pemuzik hebat iaitu Dave Weiner (gitar), Philip Bynoe (bass) dan Jeremy Colson (dram) dalam konsert berkenaan yang bermula tepat jam 8.11 malam Sabtu lalu.

Racing The World yang dipetik dari album terbaru­nya The Story of Light menjadi lagu ‘pemanas badan’ Vai dalam kunjungan ketiganya ke Kuala Lumpur dalam tempoh 17 tahun.

Vai pernah berkunjung ke negara ini pada 1996 mempromosikan album Fire Garden dan pada 2000 dalam Konsert Rentak Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil bersama G3 yang dianggotai gitaris Joe Satriani dan Eric Sardinas.

Dengan hanya membiarkan gitarnya ‘menyanyi’, Vai menghangatkan persembahan dengan lagu-lagu seperti Velorum, Building The Church, Tender Surrender dan Gravity Storm yang rata-ratanya membuatkan sebahagian besar penonton meng­geleng kepala dan ter­nganga kerana kagum dengan kemahiran Vai mengendalikan gitarnya.

Menggunakan lebih lima gitar termasuk sebuah gitar dikenali dengan nama Mojo yang dilengkapi lampu LED berwarna biru di bahagian fret, Vai tidak hanya memberi fokus kepada gitarnya saja.

Sebaliknya pemuzik hebat ini sebenarnya adalah seorang penghibur. Vai bijak berkomunikasi dengan penonton dan selain tampil dengan kostum menarik, dia juga menghiburkan penonton dengan gaya persembahan­nya termasuk menari dan berjenaka sekali gus membuatkan penonton tidak bosan.

Malah, dia sempat meminjam kamera milik seorang jurugambar sebuah akhbar dan melakukan ‘selfie’ di atas pentas!

Teknik permainan Vai memang tidak boleh dipertikaikan. Kreativiti yang ada padanya dengan mengeluarkan bunyi-bunyian pelik tapi menarik membuatkan penonton lebih kagum.

Jika diamati, melodi yang terhasil daripada gitarnya jika dipadankan dengan satu lirik, ia boleh menjadi sebuah lagu yang lengkap tanpa perlu diubah melodinya.

Ini adalah kelebihan Vai dalam setiap persembahannya. Pendek kata dia lari daripada persembahan klise sesetengah gitaris yang ha­nya berdiri tegak melakukan solo-solo gitar tanpa berinteraksi lebih dekat dengan penonton.

Vai juga bukan sekadar mempersembahkan muzik rock tetapi lebih bervariasi dengan muzik fusion dan funk.

Membawakan 20 lagu yang dipetik daripada album terbaru The Story of Light pada 2012 dan album-album terdahulu seperti Flex-Able (1984), Sex & Religion (1993), Alien Love Secrets (1995), The Ultra Zone (1999) dan Real Illusions : Reflections (2005) membuatkan penonton puas.

Selain itu, Vai juga membawakan lagu-lagu seperti For The Love of God, Sisters, Audience is Listening, The Animal dan Ans­wers daripada album Passion & Warfare pada 1990 yang dilabel sebagai album Vai paling sukses.

Penonton yang kebanyakannya terdiri daripada pemuzik sama ada profesional dan amatur nyata kagum de­ngan per­sembahan Vai.

Ketika Vai bereksperimen dengan gitarnya, mereka tidak menari, melompat atau ‘head-banging’, sebaliknya memberi fokus kepada teknik dan ‘skill’ Vai yang sedikit seba­nyak boleh dipelajari bagi memantapkan teknik permainan masing-masing.

Paling penting, tidak ada kejadian pengambilan ‘benda terlarang’ dalam konsert ini hingga menghilangkan nyawa kerana penonton yang hadir lebih menghargai muzik daripada memberi fokus kepada benda lain.

Jom layan satu lagu!