Pesawat misteri tidak dapat disahkan sebagai MH370 – ATM

SEPANG: Pesawat yang berpatah balik yang dikesan radar tentera Malaysia awal pagi Sabtu tidak dapat disahkan sebagai MH370 kata pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkefly Mohd Zin berkata, untuk tidak mengambil sebarang risiko, pihaknya menghantar pesawat C130 untuk meninjau tetapi tidak menemui apa-apa di kawasan terakhir pesawat misteri itu dikesan.

“Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang Sabtu mengarahkan supaya kawasan mencari dan menyelamat diperluaskan, kami (ATM) melihat kawasan yang akan diperluaskan.

“Kita kaji semula rakaman daripada radar dan kami mendapati ada kemungkinan pesawat ini berpatah balik dan tak pasti sama ada ia adalah pesawat yang sama tapi dalam radar ada nampak patah balik,” katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama, di sini, hari ini.

Beliau juga menegaskan, pihak ATM tidak boleh mengambil risiko mengenepikan sebarang kemungkinan dan terpaksa mengerakkan aset untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan Selat Melaka.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Panglima Tentera Udara (PTU), Tan Sri Rodzali Daud mendedahkan satu pesawat tidak dikenali dikesan pada kedudukan barat laut Pulau Pinang, awal pagi Sabtu.

Rodzali berkata pesawat yang masih belum dikenalpasti itu mungkin pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dijadualkan ke Beijing.

“Saya tidak kata bahawa ini adalah MH370. Kami sedang mengesahkannya. Kami masih bekerjasama dengan pakar,” katanya.

Beliau menjelaskan, pesawat misteri itu dikesan pada 2.15 pagi waktu tempatan pada Sabtu, kira-kira 45 minit selepas pesawat  yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang dari skrin kawalan trafik udara antara pantai timur Malaysia dan Vietnam.

Katanya, radar tentera mengesan pesawat tidak dikenali itu berada pada kedudukan kira-kira 320 kilometer di barat laut Pulau Pinang.

Sebelum ini, Tentera Malaysia percaya pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu berpatah balik dan terbang beratus-ratus kilometer ke arah barat selepas terputus hubungan dengan menara kawalan, kata seorang pegawai kanan tentera semalam.

Kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang tersebut dianggap paling misteri dalam sejarah penerbangan dan operasi mencari pesawat itu secara besar-besaran masih menemui jalan buntu.

Pihak berkuasa Malaysia berkata, pesawat tersebut hilang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China.

“Pesawat berkenaan mengubah haluan selepas memasuki ruang udara Kota Bharu dan terbang rendah sebelum menuju ke Selat Melaka,” kata seorang pegawai kanan tentera yang turut terlibat dalam siasatan kehilangan pesawat tersebut.

Menurutnya, situasi itu sekali gus menolak kemungkinan berlakunya kerosakan mekanikal kerana pesawat tersebut terbang sekurang-kurangnya sejauh 500 kilometer selepas kali terakhir dikesan menara kawalan.