Penyokong Tok Gajah degil, PBNP bakal dihukum lagi

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) merayu penyokong Tok Gajah supaya tidak mengulangi perbuatan membakar suar dan membaling bom asap seperti berlaku pada perlawanan Liga Super menentang Sarawak, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Perlawanan PBNP, Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah berkata, insiden itu amat dikesali dan tindakan segelintir penyokong bakal merugikan banyak pihak.

Menurutnya, PBNP akur jika menerima sebarang hukuman dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akibat insiden itu.

“Setakat ini, persatuan sudah dikenakan denda keseluruhan RM30,000 dan untuk insiden baru-baru ini, kita hanya menunggu dan perlu akur dengan hukuman yang bakal dikenakan.

“Memang kita terkilan dan tidak mengetahui apa motif sebenar. Namun kita merayu dan harapkan mereka tidak melakukan tindakan yang boleh merugikan kedua-dua pihak,” katanya.

Menurutnya, persatuan tidak menolak kemungkinan situasi perlawanan membabitkan Pahang akan berlaku tanpa penyokong dan pastinya merugikan persatuan dan peminat Tok Gajah.

Ditanya kemungkinan jika PBNP melarang segelintir penyokong memasuki stadium ketika perlawanan berlangsung, Raja Mustafa memberitahu, persatuan masih belum sampai ke tahap untuk bertindak sebegitu.

Beliau berkata demikian semalam selepas mesyuarat pengurusan perlawanan membabitkan aksi Pahang berdepan Perak di Stadium Darul Makmur, di sini malam esok.

Menurutnya, persatuan juga meminta kerjasama semua pihak khususnya pihak keselamatan mengetatkan aspek kawalan untuk mengelakkan bahan terlarang seperti suar dan bom asap dibawa masuk ke dalam stadium.

“Memang kita sedar ia bukan tugas mudah, namun kawalan keselamatan akan terus diperketat dan mengharapkan semua pihak menjalankan tugas untuk menjaga ketika, semasa dan selepas perlawanan di dalam dan luar stadium,” katanya.

Beliau memberitahu, seramai 363 anggota keselamatan bertugas Sabtu ini dan berharap tiada insiden negatif berulang.

Dalam pada itu, sebanyak 31,000 keping tiket termasuk 500 keping untuk kanak-kanak akan mula dijual bermula jam 10 pagi hari ini di kaunter Stadium Darul Makmur dan Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh (MPT).

“Memang kita lihat penjualan tiket untuk beberapa perlawanan kurang hangat berbanding sebelum ini namun ia berlaku kerana faktor penonton memilih perlawanan yang menjadi tumpuan mereka,”katanya.