Nazmi intai kesebelasan utama, Skuad dalam keadaan terbaik

ARKITEK muda negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor (gambar) berazam merebut tempat dalam kesebelasan utama negara menjelang pertemuan berdepan Yemen dalam aksi terakhir Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 201 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu depan.

Biarpun terpaksa bersaing dengan beberapa pemain yang jauh lebih senior seperti Badhri Radzi dan Safiq Rahim, Nazmi, 20, bagaimanapun percaya ia satu persaingan yang sihat.

Dia yang tidak diturunkan pengendali terdahulu, Datuk K. Rajagobal ketika Harimau Malaya mengatasi Yemen 2-1 di Stadium Shah Alam pada Mac tahun lalu juga membakar semangat Nazmi untuk tampil memberikan yang terbaik kali ini.

“Ia satu persaingan yang sihat, faktor usia bukan alasan untuk saya merendah diri dalam usaha merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Lagipun, saya tidak beraksi ketika berdepan Yemen sebelum ini. Jadi saya harap dapat diturunkan kali ini sekali gus memberikan yang terbaik,” katanya baru-baru ini.

Justeru, Nazmi berazam mahu membuktikan kemampuannya menjelang aksi pemanas badan berdepan Filipina dalam satu aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

“Walaupun (aksi berdepan Filipina) sekadar satu aksi persahabatan, ia tidak boleh dipandang remeh kerana perlawanan itu bakal dijadikan ukuran siapa yang akan diturunkan ketika berdepan Yemen nanti.

“Saya juga tidak menganggap memiliki kelebihan berbanding pemain lain biarpun sudah bersama jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) sejak Harimau Muda A,” kata perancang Selangor PKNS itu.

Apa yang pasti, aksi berdepan Filipina dan Yemen kelak bakal menguji kemampuan sebenar Nazmi sama ada mampu beraksi penuh selama 90 minit ataupun tidak selepas sering mengalami kekejangan otot dan gagal beraksi penuh dalam beberapa aksi kompetitif sebelum ini.

Sebelum ini, pengendali Selangor PKNS, Wan Jamak Wan Hassan memberikan jaminan bahawa anak jati Lembah Keramat itu kini telah bersedia beraksi penuh bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa hasil latihan insentif bersama kelab itu sepanjang musim ini.

Berada tahap terbaik

KAPTEN Harimau Malaya, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak menjelaskan suasana dalam kem skuad kebangsaan berada pada tahap terbaik menjelang pertemuan menentang Filipina malam ini.

Bintang Johor Darul Takzim (Johor DT) itu menganggap, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dilihat semakin bersemangat untuk menampilkan aksi cemerlang pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

Tegas Aidil, 27, dia tidak mahu memberikan alasan bahawa tempoh 10 hari untuk membuat persiapan itu sebagai terlalu singkat buat skuad Harimau Malaya, sebaliknya mereka perlu mempamerkan rentak lebih bertenaga pada aksi menentang skuad The Azkals itu nanti.

Katanya lagi, semua barisan pemain Harimau Malaya berada dalam keadaan terbaik dan menjanjikan untuk menampilkan satu persembahan positif demi peminat-peminat setia pasukan kebangsaan.

“Sepanjang 10 hari bersama, saya berpendapat (pertemuan menentang Filipina) bukan satu masalah buat kami kerana sebagai pemain, kami harus menjalankan tugas dengan baik.

“Untuk aksi menentang Filipina, saya sudah pulih 100 peratus daripada kecederaan namun, terpulang kepada jurulatih (Kim Swee) untuk menurunkan siapa yang akan bermain esok (hari ini),” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sementara itu, timbalan kapten Filipina, Rob Gier mengakui, The Azkals tetap memandang tinggi reputasi skuad Harimau Malaya.

Jelas Gier yang merujuk dua keputusan seri ketika menentang pasukan kebangsaan dalam dua perlawanan lalu, dia meramalkan aksi esok (hari ini) seperti bermain dalam satu kejohanan besar.

“Perlawanan ini pasti sengit meandangkan dalam dua pertemuan sebelum ini, kami telah mencatat keputusan seri.

“Setiap kali kami berkunjung ke Malaysia, ia bukan mudah. Buat masa ini, kami cuba menyesuaikan diri dengan percaturan jurulatih (Thomas Dooley) dan seperti anda, beliau juga adalah jurulatih baharu kami.

Apa yang pasti, ia bakal menjadi perlawanan yang menarik kerana kedua-dua pasukan mempunyai misi tersendiri untuk direalisasikan.

“Saya berharap kemenangan memihak kepada kami,” katanya.

Saksikan perlawanan ini secara langsung di sini.