Misbun dan pemain boikot BAM

Selepas membisu 17 hari dengan tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahu melantiknya sebagai Pengarah Keupayaan dan Kemahiran, akhirnya Datuk Misbun Sidek (kanan) membuka mulut, malam kelmarin.

Namun, jawapan daripada mulut bekas jurulatih Datuk Lee Chong Wei itu bukan menggembirakan, sebaliknya mengecewakan apabila menolak tawaran BAM berkenaan.

Malah, berdasarkan jawapan di sebalik penolakan itu tampak seperti ‘luka lamanya masih berdarah lagi.’

Sementara itu, Daripada tujuh pemain perseorangan yang sepatutnya hadir ke perlawanan simulasi skuad Piala Thomas 2014, hanya tiga yang muncul di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam seolah-olah memberi petanda majoriti pemain melancarkan boikot terhadap ujian pemilihan yang dianjurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Malah, sesi hari kedua yang akan bersambung hari ini dijangka tidak akan dihadiri oleh Arif Latif, menjadikan hanya dua pemain sahaja yang tinggal iaitu Goh Soon Huat dan Tan Chung Seang.

Situasi itu ternyata memeningkan kepala ketua jurulatih negara, Rashid Sidek, yang agak terkejut dengan apa yang berlaku dan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan.

“Walaupun tiga pemain sahaja yang datang, saya terpaksa menjalankan tanggungjawab dan soal kenapa ramai tidak datang, tanyalah perkara itu kepada pihak pengurusan yang telah memaklumkan kepada semua pemain yang terlibat.

“Saya hanya menjalankan tugas saya, cuma tidak banyak pilihan jika kita hendak pilih daripada tiga orang ini, dan sukar saya hendak buat keputusan jika begini keadaannya.

“Bila kita pilih sendiri, nanti ada pihak yang tidak puas hati kononnya tidak adil namun bila kita buka kepada pemilihan, ha­nya ini sahaja yang hadir.

“Mungkin masing-masing ada perancangan tersendiri kerana banyak kejohanan terdekat tidak lama lagi. Tetapi kurang adil kepada pemain lain kerana tujuan pemilihan ini adalah untuk Piala Thomas, bagaimana kita hendak pilih pemain kalau ramai tidak datang, sia-sia sahaja kita buat pemilihan ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Arif Latif

Selain Arif, Soon Huat dan Chung Seang, pemain-pemain lain yang sepatutnya hadir adalah Zulfadli Zulkifli, Misbun Ramdan Misbun dan Chan Kwong Beng yang kesemuanya bukan berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sementara seorang lagi pemain, Iskandar Zulkarnain masih mengalami kecede­raan.

Situasi ini pasti bukan satu perkhabaran baik kepada kem badminton negara kerana kejohanan Piala Thomas akan berlangsung kurang daripada dua bulan daripada sekarang dan latihan pusat akan bermula bulan hadapan. Senarai nama pemain negara pula perlu dihantar dalam masa terdekat.

Buat masa ini, Datuk Lee Chong Wei sudah pasti akan mengisi slot perseorangan utama negara di kejohanan yang akan berlangsung di New Delhi, India pada 15-25 Mei itu sementara Chong Wei Feng disebut-sebut akan mengisi perseorangan kedua namun slot ketiga dilihat masih terbuka.

Arif yang sempat ditemui selepas sesi pemilihan semalam mengakui dia langsung tidak bersemangat hendak beraksi apabila hanya tiga pemain yang hadir, malah mencadangkan kepada BAM agar membuat pemilihan berdasarkan keputusan dalam kejohanan.

“Tidak seronok langsung hendak main, saya tidak akan datang esok (hari ini). Ujian pemilihan ini macam buang masa, tambahan bermain dengan pemain Malaysia sendiri, kita sudah bosan selalu bermain bersama seperti dengan Chung Seang.

“Saya sudah berada di sini pukul 8.30 pagi tetapi hanya tiga orang sahaja ada di sini, hendak buat pemilihan apa jika tiga orang sahaja. Saya syorkan ambil sahaja pemain berdasarkan prestasi mereka di kejohanan-kejohanan terdekat, Misbun Ramdan mungkin pilihan terbaik.

“Tidak timbul soal kecil hati dan saya tiada sebarang masalah, saya sedar di mana tahap saya sekarang walaupun mungkin ada pemain BAM yang berada di ranking lebih baik daripada saya. Sebenarnya mereka pun tiada apa-apa keputusan yang membanggakan…cuma selalu banyak menyertai kejohanan, itu sahaja, ” katanya.