MH370: Media penghibur saya, kata Pakcik Selamat

SEPANG: Hotel Everly yang menempatkan kebanyakan keluarga penumpang pesawat penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, mula terasa sunyi sepi ketika usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu masuk hari yang ke-12.

Yang kelihatan hanyalah beberapa pegawai berkenaan yang menjaga lobi hotel tersebut dan sekumpulan warga media yang setia menunggu untuk menemubual ahli keluarga penumpang pesawat itu.

Seperti hari-hari sebelumnya, hanya Selamat Omar, ayah kepada Mohd Khairul Amri yang merupakan salah seorang penumpang di dalam pesawat itu, yang keluar dari biliknya.

Seperti hari-hari sebelumnya juga, Selamat melemparkan senyuman lebar kepada warga media.

Sejurus itu, warga media termasuk beberapa wartawan dari media luar negara, menyerbu Selamat yang lebih mesra dengan panggilan Pakcik Selamat itu.

Selamat, yang keluar daripada biliknya untuk makan tengah hari, meluang masa melayan wartawan – seperti hari-hari sebelumnya.

Beliau meluangkan kira-kira sejam menjawab soalan media tempatan sebelum mengalihkan perhatiannya kepada media luar negara.

Selepas menjawab soalan media luar negara yang diajukan melalui seorang penterjemah kira-kira setengah jam, beliau berkata, “Sudah ke ni? Pakcik dah kena pergi ni. Dah nak makan,” katanya.

Pada ketika itu, Astro AWANI meminta lima minit lagi daripada masa Selamat untuk menemubualnya secara ekslusif.

Selamat yang tinggal di hotel itu bersama 10 ahli keluarganya yang lain termasuk isteri dan anak Mohd Khairul bersetuju untuk permintaan itu sambil berkata beliau bersyukur dengan kehadiran warga media.

“Media penghibur saya. Tanpa media, barulah saya risau dan tertanya-tanya,” katanya.

Selamat berkata beliau mendapatkan perkembangan terkini tentang pesawat MH370 dengan membaca suratkhabar, menonton televisyen dan berbincang dengan warga media.

“Kalau bosan sangat, pakcik berjalan-jalan sekitar hotel ini,” katanya.

Pesawat B777-200 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan hilang daripada radar tidak sampai sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi, 8 Mac lepas.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Sejak hari kejadian, keluarga penumpang pesawat ditempatkan di dua buah hotel iaitu Hotel Everly, Putrajaya dan Hotel Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya bagi memudahkan Malaysia Airlines (MAS) memaklumkan perkembangan terkini mengenai pesawat berkenaan.

Kira-kira 30 anggota keluarga penumpang dari China ditempatkan di hotel Cyberview Resort & Spa manakala lebih 100 anggota keluarga di Hotel Everly.

Pencarian untuk pesawat MH370 itu sudah masuk hari ke 12.

Tetapi, Selamat bertekad untuk masih menunggu sehingga anaknya kembali ke pangkuannya.- Awani