Mercedeas AMG Petronas kuasai GP Malaysia

Sepang: Tanpa mampu digugat, juara dunia 2008, Lewis Hamilton menjuarai Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia 2014 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam dan mendedikasikan kemenangan itu kepada peminatnya di Malaysia yang berdepan dengan tragedi MH370.

Bermula di petak pertama, pelumba kelahiran Britain dari Mercedes AMG PETRONAS itu jelas memiliki jentera terbaik apabila memimpin perlumbaan dari awal sehingga akhir untuk meraih kemenangan pertamanya di sini, selepas lapan percubaan diikuti rakan sepasukannya, Nico Rosberg di tempat kedua.

Gagal menamatkan perlumbaan di GP Australia akibat masalah jentera, dua minggu lalu, Hamilton yang gah mencatat masa terpantas sesi ujian, kelayakan dan petak utama sejak Jumaat menang dengan catatan 1:45.390 saat.

Ia diikuti juara di Melbourne, Rosberg, ketinggalan 17.3 saat dan juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, ketiga (+24.5s).

“Ini kali pertama saya menang di Sepang selepas lapan tahun. Ia amat istimewa dan saya amat berterima kasih kepada pasukan kerana berjaya menyediakan jentera yang baik terutama buat PETRONAS yang berusaha keras bersama Mercedes untuk mestikan kejayaan ini sebagai kenyataan.

“Selain itu, ia juga kemenangan satu dan dua buat pasukan, menjadikannya lebih istimewa dan menakjubkan,” katanya semalam. – BH