Matterazi ganti Ronald Smith latih Tok Gajah?

KUANTAN – Siapa yang tidak kenal dengan bekas tonggak pertahanan Itali, Marco Materazzi yang bukan saja kental menjaga benteng Azzurri, malah akan dikenang oleh peminat bola sepak gara-gara insiden kontroversi ditanduk oleh legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane pada final Piala Dunia 2006 di Jerman.

Materazzi, 40, yang bersara daripada bola sepak pada 2011 selepas 11 tahun menyarung jersi gergasi Serie A, Inter Milan kini dikaitkan dengan juara Piala Malaysia, Pahang.

Pertemuan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bersama bekas pertahanan tengah itu Itali itu di satu lokasi tidak diketahui mencetuskan tanda tanya dalam kala­ngan peminat bola sepak negara ini, terutama penyokong setia Tok Gajah.

Khabar angin kini bertiup kencang menyatakan Materazzi dijangka mengisi kekosongan jawatan Ketua Jurulatih Pahang yang ­kosong selepas Ronald Smith ditamatkan kontraknya oleh PBNP awal bulan ini.

Menurut sumber, Materazzi dikatakan akan bergandingan dengan Penolong Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan untuk membentuk sebuah pasukan mantap bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.Corak permainan yang belum stabil bagi skuad Tok Gajah menyebabkan PBNP terpaksa mencari jurulatih yang benar-benar berkelayakan supaya juara Piala Malaysia musim lalu itu dapat menamatkan saingan kali ini pada kedudukan terbaik.

Dalam pada itu, di laman sosial terutama Facebook gambar pertemuan antara pihak PBNP dan Materazzi kini mula tersebar.

Malah pelbagai andaian dibuat termasuk pertemuan itu bertujuan membincangkan penubuhan akademi bola sepak di negeri ini untuk mengasah bakat baharu di kalangan pemain muda.

Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzaimie Ibrahim ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan Presiden PBNP dengan bekas pemain bola sepak Itali itu.

Katanya, Tengku Muda mempunyai ramai kenalan dan tidak me­ngetahui pertemuan itu.

Bagi Zainal pula, beliau tidak tahu tentang pertemuan itu tetapi mengetahui pertemuan Presiden PBNP dengan bekas pemain Itali itu di laman sosial semalam.

Setiausaha PBNP, Fuzaimie Ibrahim ketika dihubungi pula enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

“Saya tidak tahu… Tengku Muda mempunyai ramai kenalan,” jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di laman-laman sosial termasuk Facebook mendapati gambar pertemuan antara pihak PBNP dan Materazzi kini mula tersebar luas.

Pelbagai andaian telah dibuat bagi menjelaskan tujuan sebenar pertemuan itu, antaranya ia bertujuan bagi membincangkan penubuhan akademi bola sepak di Pahang untuk mengasah bakat baharu dalam kalangan pemain muda. – Utusan