Masalah ‘sikap’ punca City diaibkan Wigan

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini menyelar sikap pemainnya yang terlalu mudah berpuas hati dengan aksi sendiri sebagai punca kepada kekalahan memalukan 1-2 kepada juara bertahan, Wigan pada suku akhir Piala FA, semalam.

Impian City untuk merangkul tiga gelaran, satu pencapaian yang tidak pernah dicipta kelab itu mendapat suntikan perangsang apabila mereka menjulang kejuaraan Piala Liga di Wembley setelah menundukkan Sunderland, minggu lepas.

Namun, turun beraksi menentang kelab dari Liga Kejuaraan, Wigan yang pernah menumbangkan mereka pada perlawanan akhir, tahun lalu, City sekali lagi dikejutkan apabila ketinggalan 0-2 menerusi jaringan Jordi Gomez dan James Perch selepas sejam perlawanan berlangsung, sebelum Samir Nasri meledakkan gol sagu hati buat tuan rumah.

“Saya rasa, inilah persembahan terburuk kami di sini. Kami gagal memberi saingan yang sepatutnya kepada pasukan yang memberikan permainan terbaik mereka. Sebelum perlawanan lagi, kami menyedari yang kami akan menentang sebuah pasukan yang sukar dan mungkin juga kami fikir sebaliknya dan sudah agak lewat apabila ada usaha untuk cuba bangkit daripada ketinggalan.

“Setakat ini, kami berjaya menjulang satu trofi. Sekarang kami perlu meneruskan cabaran dalam saingan Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris, banyak cabaran yang perlu diharungi bermula daripada sekarang hinggalah musim ini berakhir.

“Pertama sekali, kami mesti mencatat kemenangan di Barcelona, sebelum berusaha untuk meraih kembali kedudukan teratas dalam carta liga dengan kelebihan tiga perlawanan masih berada di tangan kami,” kata Pellegrini.

City akan berkunjung ke Sepanyol, Khamis ini untuk perlawanan timbal balik kedua pusingan 16 pasukan akhir Liga Juara-Juara, namun, keputusan defisit 0-2 ketika beraksi di laman sendiri meletakkan skuad bimbingan Pellegrini berada situasi yang sukar, lebih-lebih lagi, selepas mempamerkan aksi buruk sewaktu menentang Wigan.

“Sewaktu kami tewas 2-0, ia merupakan satu perlawanan yang sukar. Kami perlu bangkit selepas kekalahan, semalam, tetapi kami perlu yakin terhadap apa yang kami mampu lakukan pada masa depan. Kami akan terus mencuba dan bermain sebaik mungkin di sana dan lihat apa yang akan berlaku,” kata pengurus City itu.

Pellegrini menafikan keputusan meletakkan beberapa pemain tonggak iaitu Joe Hart, Vincent Kompany dan Aleksandar Kolarov di bangku simpanan sewaktu menentang Wigan adalah disebabkan tumpuannya lebih terarah kepada perlawanan menentang Barcelona.

“Tidak, saya tidak meletakkan mereka di bangku simpanan kerana kami akan bermain menentang Barcelona. Mereka tidak bermain hari ini (semalam) kerana kami sering melakukan penggiliran pemain dalam aksi Piala FA dan Liga Perdana.

“Selain itu, pemain-pemain tersebut juga telah beraksi bersama skuad kebangsan masing-masing selama 90 minit, pada Rabu lalu. Jadi, amat penting untuk mereka direhatkan,” kata Pellegrini. – AFP