Mangsa samun berjaya balas dendam

Gombak: Akibat mengacu pisau Rambo dan menyamun pelanggan kafe siber, seorang lelaki berusia 23 tahun menerima pembalasan segera apabila dia dikejar dan dilanggar menggunakan sebuah kereta dalam kejadian di Taman Sri Gombak, Jumaat lalu.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, suspek masuk ke dalam kafe siber itu sebelum mengacukan pisau kepada seorang lelaki berusia 41 tahun dan mengarahkannya menyerahkan wang tunai dan tefon bimbit miliknya.

“Suspek merampas wang tunai milik mangsa kira-kira RM1,000 sebelum terus keluar daripada kafe siber itu dan terus membonceng motosikal rakannya.

“Berang apabila wang tunainya dirampas, mangsa mengekori suspek menggunakan keretanya dan melanggar motosikal dibonceng suspek di persimpangan lampu isyarat. Suspek dan rakannya terjatuh dari motosikal, tetapi rakan suspek melarikan diri manakala suspek ditahan oleh orang ramai,” katanya.

Katanya, suspek turut cedera di bahagian paha akibat tertusuk pisau Rambo miliknya sendiri sebelum ditahan polis dan dibawa ke hospital bagi menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun. – HMetro