Manchester City julang Piala Liga

London: Manchester City malam tadi melakukan keajaiban, apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum melakar kemenangan mutlak 3-1 ke atas Sunderland dalam aksi final Piala Liga di Stadium Wembley.

Namun, lawannya itu lebih dulu melakukan kejutan menerusi Fabio Borini yang menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-10, melalui larian solo, tetapi The Citizens menyamai kelebihan itu.

Anak buah Manuel Pellegrini tidak memerlukan masa yang panjang. Mereka menggunakan tempoh dua minit berharga pada minit ke-55 dan 56 yang membenarkan pasukan berkenaan mendahului semula perlawanan, hasil jaringan Yaya Toure dan Samir Nasri.

Percaturan menjadi

Percaturan pengendali itu memasukkan Jesus Navas nyata tepat apabila pemain itu menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan sekali gus terus menjamin kemenangan berkenaan.

Ia adalah kemenangan pertama City dalam saingan Piala Liga sejak 1976 sekali gus mengakhiri kemarau selama 38 tahun dan piala ketiga dimenangi pasukan ini sejak 1970.
“Kami perlukan kemenangan hari ini, ia sangat penting. Kami berhak untuk menang dengan corak yang dipamerkan pasukan pada babak kedua.

“Hari ini kami membuktikan kami sebuah pasukan yang hebat. Saya fikir, jaringan saya itu yang terbaik pernah saya lakukan,” kata Toure.

Kejuaraan itu juga adalah yang pertama dalam era Pellegrini.

City kini sudah meraih kejuaraan pertama mereka musim ini, dan pastinya pemburuan seterusnya adalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara. – Agensi

Highlights – LIKE Facebook untuk update highlights perlawanan lain dan terkini