Liga Super: Wan Zack, Fitri Omar, Brendan sah milik Kelantan

Kelantan berjaya melamar pemain ATM Fitri Omar untuk jendela perpindahan April ini.

Manakala penyerang lincah Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Nor juga berjaya dipikat TRW menjelang pintu perpindahan pemain yang akan kembali dibuka 24 Mac ini.

Walaupun masih lagi memiliki baki kontrak setahun dengan kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, Wan Zack, 23, telah bersetuju untuk menyertai Kelantan.

Selain Fitri Omar, Wan Zack, Kelantan juga mengumumkan Brendan Gan sebagai pemain baharu musim ini pada sidang akhbar yang diadakan sebentar tadi oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan mengaitkan Wan Zack berhasrat untuk kembali beraksi beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), namun perkhabaran itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak pengurusan FC Ryukyu. Begitupun jika keputusan Wan Zack Haikal untuk menyertai Kelantan bukanlah sesuatu yang agak mengejutkan.

Ini kerana, Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa sudah memberi gambaran awal menerusi status Facebook miliknya dengan menyatakan The Red Warriors akan membawa masuk tiga pemain bintang tempatan termasuk dua daripadanya bertaraf antarabangsa, jika benar berita ini ia merupakan berita gembira untuk peminat-peminat TRW.