Liga Super: Terengganu Kekal Pendahulu Liga Super

KUALA LUMPUR, 22 Mac  — Terengganu mengekalkan kedudukan pendahulu Liga Super walaupun kalah 3-2 kepada Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Keputusan itu tidak mengubah kedudukan skuad ‘Penyu’ di persada liga dengan 13 mata, berkongsi mata dengan Pahang, Kelantan dan Selangor.

Tiga gol Sime Darby FC dijaringkan oleh Nazrul Kamaruzaman pada minit keenam, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri pada minit terakhir separuh masa serta sepakan penalti Farid Ramli pada minit ke-50.

Dua gol skuad ‘Penyu’ dihasilkan oleh pemain tengah, Ismail Faruqi pada minit ke-24 dan Norfarhan Muhammad (70′).

Pahang pula melonjak empat anak tangga ke kedudukan kedua liga selepas mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Sarawak di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Skuad ‘Tok Gajah’ berada di hadapan pada minit ke-29 selepas pemain pelawat, Ronny Harun menolak masuk bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-30 sebelum menambah dua lagi gol menerusi Damion Stewart (61′) dan Mohd Hafiz Kamal (71′).

Mohd Rashid Aya mengurangkan defisit jaringan untuk skuad ‘Ngap Sayot’ pada minit ke-90 perlawanan.

Selangor yang beraksi buat pertama kali di Stadium Shah Alam sejak ia ditutup November lepas, menang tipis 1-0 ke atas Kelantan hasil gol tunggal Paulo Rangel yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-22.

Dua minit sebelum itu, Kelantan dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Mohd Nafeez Abdul Wahab namun sepakan yang diambil Francis Forkey Doe ditampan oleh penjaga gol Selangor, Mohd Farizal Marlias.

Pasukan Lions XII dari Singapura pula menamatkan badi dua kekalahan sebelum ini, selepas mengalahkan Selangor PKNS FC, 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Muhammad Nazmi Faiz Mansor terlebih dahulu meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-30 sebelum Lions XII meraih dua gol pantas menerusi Zulfahmi Ariffin pada minit ke-43 dan Faris Ramli (59′).

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan kelab T-Team berkongsi satu mata dengan Perak selepas terikat seri 1-1.

R. Mugenthirran menjaringkan gol pendahuluan untuk Perak pada minit ke-78 sebelum Mohd Ramzul Zahini Adenan menyamakan kedudukan untuk T-Team, tiga minit kemudian.

Turut berkongsi satu mata adalah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terikat 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Pemain ATM, Riduwan Maon membuka tirai jaringan pada minit ke-39 sebelum Mohd Safee Sali menyamakan kedudukan untuk JDT pada minit ke-86.

Terdahulu, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten pasukan, Baihakki Khaizan dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-65 selepas mengasari pemain ATM, Venice Elphi. — BERNAMA

Highlights – LIKE Facebook untuk highlights terkini