Liga Super: Sarawak Ikat Griffiths Selama Dua Tahun

KUCHING, 12 Mac (Bernama) — Bekas penyerang Australia, Ryan Griffiths, telah mengikat kontrak selama dua tahun bersama Sarawak bagi mengharungi saingan Liga Super apabila pintu perpindahan pemain dibuka 23 Mac ini.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts mengesahkan bahawa pemain berusia 32 tahun itu akan tiba di sini lewat malam esok dan akan mengikuti latihan bersama pasukan pada hari berikutnya.

Beliau berharap kehadiran bekas pemain kelab Adelaide United dalam Liga Australia itu akan menyelesaikan masalah kecederaan pemain import Muamer Salibasic dari Bosnia dan pemain kelahiran Serbia, Milorad Janjus.

Jurulatih Belanda itu turut mengesahkan bahawa kontrak penyerang dari Iran, Alireza Abbasfard Rahim akan tamat akhir bulan ini.

Alberts berkata sekiranya Salibasic dan Janjus gagal pulih sepenuhnya daripada kecederaan sebelum pintu perpindahan pemain import ditutup pada 19 April ini, maka beliau mungkin mendapatkan pemain import baharu.

Selain itu, jurulatih itu berkata beliau tidak akan mendapatkan khidmat pemain dari Cameroon, Anicet Eyenga, yang mengikuti ujian selama dua minggu lepas manakala dua lagi penyerang import Karim Darbaki, 21, dari Maghribi dan David Strihavka, 31, dari Republik Czech mengikuti ujian sejak tiga hari lepas.

Alberts berkata beliau memerlukan masa selama seminggu untuk membuat penilaian terhadap dua penyerang tersebut manakala seorang lagi penyerang dari Cameroon dijangka tiba malam ini untuk mengikuti ujian pemilihan.

Sementara itu, kelab Adelaide United mengesahkan Griffiths telah menyertai Sarawak selepas hanya dua bulan bersama kelab itu.

Pengarah Adelaide United, Michael Petrillo berkata mereka terpaksa melepaskan Griffiths demi kebaikan pemain itu.

“Ini adalah keputusan amat sukar untuk melepaskan Ryan (Griffiths) kerana ini bukan masa yang baik untuk kehilangan seorang pemain dengan baki lima perlawanan dan mempunyai peluang ke pusingan akhir,” katanya dalam kenyataan.

“Bagaimanapun beliau menerima kontrak dua tahun yang sangat baik dan kami tidak dalam kedudukan sekarang untuk menawarkan beliau lanjutan kontrak kerana beliau baru sahaja menyertai kami,” katanya. — BERNAMA