Liga Super: Kelantan cipta kalah ‘hatrik’, Terengganu kekal pendahulu liga

Kota Bharu: Stadium Sultan Muhammad IV harus bukan lagi gelanggang keramat buat Kelantan apabila sekali lagi tumbang di laman berkenaan apabila tewas 2-1 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi Liga Super malam tadi.

Kekalahan itu turut menyaksikan kekalahan ketiga The Red Warriors (TRW) dalam tiga perlawanan berturut-turut, termasuk kepada kelab Vietnam, Vissai Ninh Binh dalam saingan Piala AFC.

Malang bagi Ahmad Shakir Ali yang baru terlepas dari hukuman penggantungan dua perlawanan selepas mengutip kad merah pada perlawanan sebelum ini apabila terpaksa dikeluarkan seawal minit ketiga kerana kecederaan dan digantikan dengan pemain baru Mohd Fitri Omar.

Padah kesilapan pertahanan Tuan rumah, Kelantan terlebih dulu menceriakan kira-kira 25,000 penyokong setia mereka apabila Mohamed Ghaddar merembat kencang ke gawang JDT selepas menerima hantaran satu dua dari Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-17 untuk gol pertama perlawanan.

Bagaimanapun, kesilapan pertahanan Kelantan, Nazri Ahmad yang gagal menyepak kemas bola di kawasan kotak penalti pada minit ke-33 dihukum dengan gol penyamaan pelawat menerusi Amri Yahyah yang bijak menggunakan peluang itu untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Bersambung babak kedua, pintu gol pelawat hampir bolos kali kedua menerusi Badhri Radzi pada minit ke-59, namun sepakan percuma kapten Kelantan itu sekadar menggegar palang gol.

Selang empat minit, sepakan percuma Badhri sekali lagi mencemaskan pintu gol pelawat, namun tindakan pantas Izham Tarmizi Roslan berjaya menepis bola sebelum terkena palang gol buat kali kedua.

Di sebalik penguasaan TRW, gawang mereka bocor lahi apabila pemain gantian, Fazly Mazlan bijak menolak masuk bola hantaran lintang Luciano Figueroa dua minit sebelum tamat perlawanan untuk kemenangan bermakna bekas jurulatih TRW, Bojan Hodak.

Sementara itu, Pasukan Terengganu mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam Selasa.

Keputusan itu menyaksikan skuad ‘Penyu’ mengumpul 16 mata, berkongsi mata dengan Pahang dan Selangor namun menduduki tangga teratas kerana perbezaan jaringan.

Tiga gol pasukan Terengganu dijaringkan Abdul Manaf Mamat pada minit ke-23, Norfarhan Muhammad (77′) dan Mohd Faiz Subri pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Jiran mereka, Pahang terus mengekori rapat susulan kemenangan 3-1 menentang Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Skuad ‘Tok Gajah’ meledakkan tiga jaringan menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-42 dan 59′ serta Mohd Fauzi Roslan (62′) manakala gol tunggal PKNS FC dijaring penyerang import dari Liberia Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-71.

Pasukan Selangor terus mengekalkan rentak cemerlang selepas mencatat kemenangan mengejut 2-0 ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching menerusi sentuhan penyudah Andik Vermansah pada minit ke-24 dan A. Thamil Arasu (52′).

Juara bertahan, Lions XII dari Singapura turut meraih tiga mata berharga selepas mengalahkan Perak hasil jaringan tunggal pemain pertahanan Safuwan Baharuddin pada minit ke-90.

Wakil kelab dari Terengganu, T-Team pula keluar dari zon penyingkiran selepas mengalahkan Sime Darby FC dengan kemenangan 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol skuad ‘The Titans’ dijaring oleh pemain import dari Brazil, Evaldo Goncalves pada minit ke-25 dan kapten pasukan Mohd Marzuki Yusof (minit ke-71).

Highlights – LIKE Facebook untuk highlights terkini