Liga Perdana: KFA intai bekas pemain Real Sociedad

BEKAS pemain Sepanyol yang pernah beraksi bersama kelab Real Sociedad, Gorka Larrea García kemungkinan akan bersama skuad Lang Merah musim ini, sekiranya beliau didaftarkan sebagai pemain import keempat pada sesi pendaftaran kedua yang akan tamat pada 21 April nanti.

Pengurus Pasukan Kedah, Datuk Jeffrey Low Hang Chau ketika ditemui berkata,  pihak pengurusan masih meneliti pemain tersebut sebelum membuat keputusan muktamad dan perkara tersebut masih lagi di peringkat perbincangan.

“Memandangkan kita mempunyai satu lagi kuota pemain import, kita akan melengkapkan kuota itu sebagaimana dibenarkan FAM.

“Lagipun kita memang memerlukan seorang pemain tengah yang berpengalaman dan berdasarkan pemerhatian setakat ini, dia antara calon yang sesuai, tapi kita akan menguji terlebih dahulu sebelum membuat keputusan,” katanya.

Tambah Jeffrey, selain pemain import, KFA juga sedang mengintai beberapa penyerang tempatan untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan jentera Kedah dalam berdepan saingan musim ini.

Menurutnya, KFA perlu menggantikan penyerang sedia ada dengan memilih penyerang tempatan yang lebih bagus.

“Buat masa ini, kita masih belum bersedia untuk mendedahkan siapakah pemain tempatan itu kerana menghormati pasukan lama. Mereka juga masih mempunyai kontrak, jadi kita tak berani nak terlalu mendedahkan.

“Tapi kita tengah berunding dan kemungkinan kita akan menggugurkan dua atau tiga pemain tempatan yang sedia untuk menggantikan yang baharu,” katanya.

Ketika ditanya siapakah pemain yang akan digugurkan itu, Jeffrey bagaimanapun enggan mendedahkan sebaliknya hanya akan memberitahu selepas semua proses selesai. – SH