Lelaki merayu mahu masuk penjara

Shropshire (England): Seorang penagih dadah sanggup menghubungi polis dan merayu supaya dimasukkan ke penjara kerana bosan hidup di bandar Stretton di sini.
Lee Andrew Price, 30, memberitahu polis dia bosan hidup di tempat yang “entah di mana” dan bandar itu “terlalu asing untuknya”. 
Apabila diberitahu yang dia tidak boleh ditahan jika tidak melakukan kesalahan, Lee mencuri di kedai yang terletak berhampiran. 
Dia mengekori seorang pengawal keselamatan mengelilingi kedai itu sebelum secara terang-terangan mencuri barangan bernilai RM696 dalam usaha membuatkan dirinya ditahan.
Dia kini dipenjara 12 minggu oleh Mahkamah Majistret Telford selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.
Peguamnya Dean Easthope, berkata Lee menagih dadah hampir seumur hidupnya dan sedang khayal ketika berkata dia sudah bosan hidup di bandar itu. 
“Dia menghubungi polis dan meminta untuk dipenjarakan tetapi polis menyuruhnya melakukan kesalahan,” kata peguam itu. – Agensi