Lapan penduduk lapor dengar bunyi dentuman, MAS terkejut dengan dakwaan

MARANG: Lapan penduduk di Kampung Pantai Seberang Marang di sini mendakwa mendengar bunyi dentuman yang kuat pada pagi Sabtu lalu datang dari timur laut Pulau Kapas, kemungkinan ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang.

Berikutan itu mereka telah membuat laporan di ibu pejabat polis Daerah Marang kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Seorang daripada penduduk terbabit, Alias Salleh, 36, berkata pada pukul 1.20 pagi berkenaan ketika beliau bersama tujuh lagi rakannya sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai Marang, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang.

“Bunyi yang kuat dan menakutkan itu dipercayai datang dari timur laut Pulau Kapas sebelum kami bergegas ke arah tersebut untuk mengesan punca bunyi itu.

“Kami mencari di sekitar Pantai Rhu Muda namun tidak menemui apa-apa yang mencurigakan,” kata Alias, seorang pemandu lori.

Ditanya mengapa beliau membuat laporan selepas empat hari kejadian itu berlaku, bapa kepada tiga orang anak itu berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaporkan maklumat kepada pihak berkuasa bila pesawat masih tidak ditemui hari ini selepas empat hari berlalu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Yusri Mohd Yusof, 34, berkata bunyi yang kuat dan agak pelik itu pada awalnya disangkakan fenomena Tsunami.

“Bunyi bising yang kedengaran seperti kipas kapal terbang itu dapat saya dan rakan-rakan dengar selama dua minit dan bunyi itu berdesing.

“Saya mengambil keputusan ini (membuat laporan) selepas berasa curiga dengan bunyi itu dan ditambah lagi dengan laporan media berkaitan kes kehilangan pesawat,” kata beliau.

Mohd Yusri turut mendakwa beberapa kawannya termasuk pemancing dan nelayan turut mendengar bunyi aneh berkenaan dari arah pantai.

Sementara itu, Malaysia Airlines (MAS) terkejut dengan dakwaan terhadap pembantu juruterbang Fariq Ab Hamid yang dikatakan membenarkan penumpang duduk di kokpit semasa penerbangan dua tahun lalu.

Gambar yang disiarkan stesen TV Australia

MAS sedar akan dakwaan tersebut tetapi tidak dapat mengesahkan ketulenan gambar dan video yang dipaparkan dalam rancangan “A Current Affair” siaran sebuah stesen televisyen Australia, katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut laporan AP, seorang wanita bernama Jonti Roos mendakwa dibenarkan melawat kokpit bersama rakannya semasa penerbangan dari Phuket ke Kuala Lumpur pada Disember 2011.

Roos juga mendakwa juruterbang MAS merokok ketika menceritakan pengalamannya semasa rancangan televisyen tersebut.

Fariq merupakan salah seorang daripada juruterbang penerbangan itu.

Walaubagaimanapun, Roos dikecam kerana cuba mendapat perhatian ketika kes ini menjadi perhatian dunia. Beliau didakwa tidak sepatutnya membangkitkan hal ini ketika keluarga mangsa dalam kesedihan.