Kim Swee berminat ganti Rajagobal

Kuala Lumpur: Berakhirnya kempen kelayakan Piala Asia 2015 kelmarin menimbulkan persoalan mengenai siapakah yang bakal menerajui skuad kebangsaan selepas ini.

Buat masa ini tugas itu disandang sementara Datuk Ong Kim Swee dan apa yang berjaya dilakukan pengendali berusia 43 tahun itu dalam masa yang singkat tidak mengecewakan.

Keputusan seri 0-0 dengan Filipina pada aksi persahabatan minggu lalu dan kemenangan 2-1 ke atas Yaman ketika beraksi dengan 10 pemain di gelanggang lawan pada perlawanan kelayakan Piala Asia kelmarin sesuatu yang boleh dibanggakan buat Kim Swee yang hanya berpeluang melatih Harimau Malaya untuk tempoh dua minggu.

Tiga mata ke atas Yaman yang berada di ranking ke-186 FIFA mungkin menjadi pertikaian namun nikmat kemenangan dalam perlawanan berstatus A itu sudah lama tidak dikecapi apabila kali terakhir Malaysia menang 2-1 ke atas pasukan sama di Shah Alam pada Mac tahun lalu. Ketika itu skuad Harimau Malaya dikendalikan Datuk K Rajagobal.

Adalah keterlaluan untuk melihat perubahan drastik dalam skuad kebangsaan namun berdasarkan dua perlawanan itu ternyata ada peningkatan dari segi corak permainan, keyakinan dan mentaliti ingin menang di kalangan pemain. – HMetro