Khairy mahu FAM tingkat keselamatan, Balingan suar ganggu rentak pemain negara

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berbincang untuk meningkatkan kawalan keselamatan setiap kali berlangsung perlawanan bola sepak yang melibatkan skuad kebangsaan dengan pasukan pelawat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, peningkatan kawalan keselamatan penting bagi memastikan tidak ada bahan seperti suar, bom asap atau mercun dibawa masuk ke dalam stadium sehingga boleh mengganggu perlawanan serta mengancam keselamatan.

“Kita kena ingat soal keselamatan. Selama ini, saya bertolak ansur kerana pembakaran suar, bom asap dan mercun tidak mengganggu perlawanan dan mengancam keselamatan. Tetapi apa yang berlaku semalam sudah lebih sangat dan perlu diambil tindakan tegas,” katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kekacauan yang dilakukan penyokong Ultras Malaya yang membakar suar dan mercun sehingga menyebabkan perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan Filipina di Stadium Selayang semalam dihentikan selama lapan minit, setelah 31 minit perlawanan berlangsung.

Kedua-dua pasukan akhirnya seri tanpa jaringan.

Khairy mahu PDRM mengemukakan laporan kepada FAM berkaitan punca kejadian tersebut.

“Bagi saya kalau pembakaran suar dan bunga api sudah sampai tahap boleh ganggu perlawanan, ia adalah perkara yang tidak boleh diterima dan sekiranya sudah sampai tahap ganggu perlawaan dan keselamatan ia adalah serius,” katanya.

Sementara itu Pemangku jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengakui kekacauan dilakukan kumpulan Ultras Malaya yang menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan selama lapan minit pada minit ke-30 mengganggu rentak dan momentum permainan anak buahnya.

“Setakat minit ke-30 sebelum permainan terhenti, kita bermain cukup baik dengan menggunakan bahagian tengah dan serangan. Apabila tergendala, sudah tentu sukar untuk pemain mendapatkan semula rentak dan hanya seketika pada babak kedua kita berjaya mempamerkan gerakan baik seperti itu.

Segalanya terjadi pada minit ke-31 selepas para penyokong Ultras Malaya secara tiba-tiba membakar suar dan mercun sekali gus memaksa permainan dihentikan selama lapan minit sebelum diteruskan.

Apa yang dilakukan oleh para penyokong Ultras sebagai tanda protes 30 tahun pemerintahan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah itu bagaikan menjadi punca kepada skuad Harimau Malaya yang seperti kehilangan momentum biarpun mencipta gerakan bertali arus sebelum insiden berkenaan.