Kaka tiada dalam perancangan Scolari

SOWETA – Jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari tidak memberi sebarang gambaran semalam apabila dita­nya sama ada pemain tengah, Kaka masih lagi berada dalam perancangannya untuk skuad Piala Dunia 2014.

“Setiap warga Brazil memiliki peluang yang sama untuk dipilih menyertai skuad,” katanya ketika ditemui pem­berita pada per­lawanan persahabatan Brazil menentang Afrika Selatan di Soweto.

Setakat ini, Kaka, 31, yang mewakili AC Milan diketepikan dalam lima perlawanan yang melibatkan kedua-dua negara yang mana Selecao mencatat kemenangan dalam kesemua pertemuan tersebut dengan margin satu gol.

Brazil melakar kejayaan 3-2 di Soweto, 2-1 serta 1-0 di Johannesburg, dan 1-0 di Sao Paulo dua tahun lalu.

Scolari berkata, dia akan menonton perlawanan di Brazil dan Eropah sebelum mengumumkan skuadnya pada 7 Mei ini.

“Saya akan menonton dan berunding dengan pemain yang beraksi di tanah air serta luar negara dan kemudian akan membuat pemilihan skuad 23 pemain untuk Piala Dunia. Cita-cita kami adalah merangkul kejuara­an pada pertandingan itu dan persediaan kami kini berada di landasan yang betul,” kata Scolari.

Brazil akan menjadi tuan rumah pertandingan berprestij empat tahun sekali itu pada 12 Jun hingga 13 Julai dan merupakan pasukan pilihan media untuk melebarkan rekod kemenangan kepada enam gelaran.

Scolari berkata, dia akan bergantung kepada rakaman video dan maklumat yang disalurkan oleh pembantunya, Carlos Alberto Parreira tentang Afrika Selatan, yang mengejutkan juara bertahan, Sepanyol 1-0 di Soweto dalam perlawanan persahabatan November lepas.

“Semua maklumat yang saya tahu tentang Afrika Selatan ialah melalui video dan Carlos telah menyalurkan maklumat yang amat berguna untuk saya,” ujar­nya.

Parreira, yang membimbing Brazil ketika merangkul Piala Dunia pada 1994 di Los Angeles merupakan jurulatih Afrika Selatan sewaktu negara itu menjadi tuan rumah pada 2010.

Scolari juga merupakan pemenang Piala Dunia apabila membawa Brazil menggondol gelaran kelima di Jepun, 12 tahun lalu. Jurulatih itu sekali lagi berjaya membawa Selecao memenangi gelaran setelah membenam Sepanyol 3-0 untuk muncul juara Piala Konfederasi tahun lepas. – AFP