Jurulatih asing tetap jadi buruan FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap tidak berganjak dengan pendirian untuk mendapatkan khidmat jurulatih asing bagi membimbing skuad Harimau Malaya.

Biarpun jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee dilihat berjaya membimbing Harimau Malaya setakat ini termasuk ketika menewaskan Yemen 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Rabu lalu, FAM tetap memburu tenaga jurulatih asing.

Sambil memuji persembahan Harimau Malaya ketika menentang Yemen, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, FAM kekal dengan keputusan untuk memburu khidmat jurulatih import.

“Ia satu permulaan yang baik buat Kim Swee. Ketika menentang Yemen, pasukan negara telah bermain bersungguh-sungguh walaupun beraksi dengan 10 pemain.

“Kita bertuah kerana menang dalam perlawanan itu tetapi agak kecewa kerana tidak layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

“Namun, keputusan (kedudukan Kim Swee sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya) tetap sama seperti yang dibincangkan pada Mesyuarat Exco FAM sebelum ini,” kata Hamidin ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam Mesyuarat Exco FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 22 Februari lalu, FAM membuat keputusan untuk melantik jurulatih asing bagi melatih Harimau Malaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Jurulatih FAM, Datuk Seri Subahan Kamal turut mendedahkan, bekas pemain Bayern Munich dan AC Milan, Jean-Pierre Papin antara salah seorang daripada 42 jurulatih yang memohon jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Bagaimanapun, FAM tidak mahu terburu-buru menamakan pengendali baharu ekoran kesan daripada rundingan dengan bekas jurulatih Jepun, Phillipe Troussier sebelum ini.

Ketika ini, FAM hampir pasti ‘mengikat’ Troussier sebelum mengambil keputusan untuk menolak hasrat bekas jurulatih FC Ryukyu itu gara-gara permintaannya terutama membabitkan gaji yang keterlaluan.

Selain Troussier, jurulatih AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton juga dikatakan berada dalam radar FAM. – Kosmo