Isu suar: Polis buat tangkapan, FAM perlu selesai masalah segera

KUANTAN – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kumpulan penyokong Ultras Malaya perlu mencari jalan penyelesaian bersama supaya insiden membakar suar dan mercun yang berlaku di Stadium Selayang ketika perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Filipina tidak berulang.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, masalah yang melanda kedua-dua pihak itu bukanlah perkara baharu dan perlu diselesaikan segera bagi mengelak daripada menjadi lebih keruh.

“Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan, saya harap FAM mencari jalan terbaik bersama pihak Ultras Malaya supaya kelakuan seperti malam itu tidak berterusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Zakat Perniagaan Lembaga Tabung Haji (TH) di Istana Abdul Aziz di sini, semalam.

Tengku Abdullah juga menjangkakan FAM akan dikenakan hukuman oleh badan induk bola sepak antarabangsa berhubung kejadian itu.

“Kejadian ini merupakan satu tanda hitam dalam rekod FAM. Jadi kami bersedia untuk menerima apa sahaja hukuman daripada pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ataupun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Saya dapat bayangkan FAM akan berhadapan dengan hukuman akibat kejadian ini, tetapi (kemelut ini) tidak akan menjejaskan kita dalam meneruskan pembangunan bola sepak negara.

“Soal pemilihan (barisan pemimpin FAM) yang akan datang pula, saya serah kepada ahli-ahli gabungan,” katanya.

Sabtu lalu, penyokong Ultras Malaya telah membakar suar dan mercun sehingga menyebabkan perlawanan Malaysia dengan Filipina terpaksa dihentikan selama kira-kira lapan minit.

Insiden memalukan yang bermula pada minit ke-31 itu dipercayai sebagai tanda protes terhadap 30 tahun pentadbiran Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

Mengenai aspek keselamatan pula, Tengku Abdullah berkata, perkara itu tetap menjadi keutamaan pihaknya, namun penyokong sentiasa mempunyai cara untuk melakukan tindakan yang melanggar undang-undang.

“Cuma kita jangan jadikan arena bola sepak ini sebagai medan perang seperti semua undang-undang boleh dilangar, ini adalah petanda tidak sihat.

“Kalau kita hendak pergi sesuatu pertandingan bola sepak, tengok sahajalah. Sebab menang atau kalah itu kita kena terima dengan hati terbuka,” katanya.

Sementara itu Polis ada membuat tangkapan terhadap individu yang bertanggungjawab membakar suar dan membaling bom asap ketika aksi persahabatan antarabangsa antara Harimau malaya dan Filipina di Stadium Selayang, Sabtu lalu.

Ketua Polis negara, Tan Sri Khalid abu Bakar yang mengesahkannya semalam bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung tangkapan itu, tetapi akan memaklumkan perkembangan siasatan dalam masa terdekat.

Khairy Jamaluddin pula berkata, Kementerian Belia dan Sukan percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memahami perasaan tidak puas hati penyokong tempatan terhadap mereka, terutama membabitkan kumpulan Ultras Malaya.

Beliau berkata mesej yang disampaikan penyokong berkenaan sewajarnya diterima badan induk bola sepak negara itu.

“Kita yakin pengurusan FAM tahu mengenai (punca) tindakan Ultras Malaya dan ketidakpuasan hati penyokong bola sepak tempatan (terhadap mereka) katanya.