Inilah masanya transformasi bola sepak negara – Khairy

Kuala Lumpur: Pemilihan pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Mei nanti dianggap sebagai peluang terbaik melaksanakan transformasi terhadap sukan bola sepak di negara ini.

Itu antara pandangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditanya mengenai pemilihan badan induk bola sepak negara itu yang semakin hampir dengan setiap jawatan terutama presiden badan induk itu sudah mendapat beberapa pencalonan.

Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dilaporkan mendapat pencalonan ahli gabungan untuk mengekalkan jawatan disandangnya sejak 30 tahun lalu selain Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang juga Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut dicalonkan bagi mengisi jawatan nombor satu itu.

“Paling penting saya percaya FAM dan semua yang bertanding jawatan itu, sama ada presiden sehingga exco tahu, inilah masa melaksanakan transformasi dalam pengendalian sukan bola sepak negara.

“Tidak manis untuk saya mengulas mengenai pemilihan persatuan sukan kebangsaan.

Ia hak persatuan dan badan gabungan.

Namun umum mengetahui pemilihannya pada Mei, jadi saya serahkan kepada ahli gabungan FAM untuk membuat pemilihan terbaik,” katanya yang juga bekas Timbalan Presiden FAM.

Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM akan berlangsung pada 25 Mei nanti dengan badan induk bola sepak negara itu dijangka mengumumkan senarai penuh calon yang layak selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada 19 April depan.

Badan induk bola sepak negara itu menerima tiga pencalonan untuk jawatan presiden dengan 14 nama turut dicalonkan untuk merebut dua kerusi yang dipertandingkan bagi Timbalan Presiden selain empat kerusi naib presiden dan 10 kerusi Exco FAM bagi memimpin FAM untuk penggal 2014-2018.  HMetro