Hukuman FAM: PBNJ didenda RM19,448.14, Kafa RM15,000

PETALING JAYA – Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendenda Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sebanyak RM 19, 448.14.

Timbalan Pengerusinya, Ednan Othman berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara selepas pihaknya mendapati PBNJ bersalah.

Menurut Ednan, ketiga-tiga kesalahan itu direkodkan ketika pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melayan kunjungan pasukan Perak di Stadium Larkin pada 18 Januari lalu.

Tiga kesalahan itu adalah tindakan penyokong JDT yang menghalang dan melontar batu ke arah bas pasukan Perak, membaling bom asap di luar stadium dan kegagalan PBNJ menyediakan kawalan keselamatan mencukupi.

“Pada mulanya pasukan JDT tidak mengaku bersalah, namun selepas kami beri penerangan, JDT mengaku bersalah di atas pertuduhan itu.

“Walaupun kejadian itu berlaku di luar stadium, persatuan tuan rumah tetap perlu bertanggungjawab menyediakan langkah keselamatan secukupnya,” katanya.

Selain PBNJ, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) turut didenda sebanyak RM15,000.

Menurut Ednan, denda itu dikenakan kerana pasukan Kelantan didapati bersalah di atas tiga pertuduhan ketika perlawanan menentang Sime Darby pada 18 januari di Stadium Sultan Mohammed IV.

Kesalahan direkodkan adalah tindakan penyokong membakar kad imbas dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap FAM, selain kegagalan KAFA menyediakan kawalan keselamatan memadai. – abnx