Hoki: Malaysia belasah China tanpa bantuan Faizal Saari

MALAYSIA buat pertama kali menungguli kedudukan pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-23 selepas menumpaskan China 7-3, pada perlawanan saingan awal di Stadium Azlan Shah, di Ipoh, malam ini.

Selepas empat perlawanan, Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengumpul 10 mata dan mendahului carta kedudukan enam pasukan.

Bagaimanapun, peluang Malaysia menempah slot perlawanan akhir Ahad ini masih belum terjamin kerana juara bertahan Australia dan Korea Selatan masih mempunyai
baki dua perlawanan.

Malaysia perlu melengkapkan jadual pusingan awal dengan menentang Australia, Sabtu ini.

Australia, yang mengutip sembilan mata dalam tiga perlawanan sebelum ini, akan berdepan dengan Korea Selatan esok sebelum menentang Malaysia, Sabtu ini.

Korea Selatan, dengan tujuh mata, akan melengkapkan jadual dengan menentang Afrika Selatan, Sabtu ini.

Dalam pertemuan dengan China, Malaysia tidak menghadapi masalah untuk mendahului 5-0 pada babak pertama perlawanan.

Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Muhammad Marhan Mohd Jalil diikuti tiga minit kemudian oleh Azlan Misron.

Gol lain skuad kendalian Muhammad Dharmaraj Abdullah dijaringkan oleh Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin (24′), Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil (26′), Shahril Saabah (30′), Mohd Fitri Saari (45′) dan Muhammad Firhan Ashari (62′).

China, yang mengutip tiga mata selepas mengalahkan Afrika Selatan 5-0, Jumaat lepas, merapatkan jurang jaringan menerusi E Liguang pada minit ke-44 dan dua percubaan pukulan sudut penalti oleh Du Talake pada minit ke-61 dan 66.

China akan melengkapkan jadual dengan menentang Kanada esok.

Walaupun mencipta kemenangan besar namun Dharmaraj berkata anak buahnya tidak menampilkan permainan yang hebat.

“Kita hanya menggunakan kesempatan peluang yang ada dengan baik pada babak pertama perlawanan,” katanya.

Highlights – LIKE Facebook untuk highlights terkini