Hodgson perlu yakin keupayaan kuda tua Chelsea

LONDON – Jose Mourinho menggesa pengurus England, Roy Hodgson agar meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada bintang veteran Chelsea, Ashley Cole dan Frank Lampard untuk Piala Dunia di Brazil.

Selepas menamakan skuad 30 pemain menjelang perlawanan persahabatan menentang Denmark di Wembley, Khamis minggu depan, Hodgson memberi amaran kepada para pemain senior termasuk Cole dan Lampard, bahawa dia bersedia untuk membuat keputusan yang tegas apabila mengumumkan senarai akhir yang akan ke Brazil pada 13 Mei ini.

Bek kiri, Cole, 33, berada dalam bahaya apabila pemain itu kini menjadi pilihan kedua di belakang Leighton Baines dan kedudukannya semakin terancam ekoran Hodgson memutuskan untuk membawa masuk Luke Shaw, yang mempamerkan prestasi cemerlang bersama Southampton, musim ini.

Lampard, 35, pula berdepan persaingan di posisi tengah dengan pemain Arsenal, Jack Wilshere dan Steven Gerrard yang nampaknya bakal disenaraikan dalam kesebelasan utama, sementara pemain muda Liverpool, Jordan Henderson turut mencuri tumpuan ekoran prestasi memberangsangkan dalam Liga Perdana Inggeris, musim ini.

Namun, pengurus Chelsea, Mourinho tetap percaya bahawa Cole dan Lampard, yang menjadi tonggak kepada kejayaan England pada kempen pusingan kelayakan Piala Dunia, berhak diberi peluang terakhir untuk mewakili negara pada pertandingan di peringkat tertinggi.

“Ini bukan keputusan saya. Tetapi saya cuba bersikap pragmatik, jadi jika pada satu hari nanti bergelar pengurus pasukan kebangsaan di mana-mana negara, saya berpendapat pemain yang membantu saya di pentas Eropah atau pun Piala Dunia adalah pemain yang akan saya pilih untuk beraksi pada pertandingan tersebut.

“Mereka membantu saya pada perlawanan kelayakan. Jadi, saya sepatutnya menyenaraikan mereka. Saya fikir ia satu keputusan yang tidak masuk akal jika anda percaya kepada beberapa pemain yang beraksi pada pusingan kelayakan, selepas itu, anda tidak memilih mereka dan pilih pemain lain pula,” kata Mourinho.

Bukti yang menyokong hujah Mourinho itu ialah Lampard beraksi dalam tujuh daripada 10 perlawanan kelayakan England dan berakhir apabila muncul sebagai pemain kedua paling banyak meledakkan gol di belakang Wayne Rooney iaitu sebanyak empat gol.

Hanya kapten, Gerrard dan gandingan pemain Everton, Phil Jagielka serta Baines yang bermain lebih lama berbanding Lampard.

Sementara itu, pengalaman luas Cole di pentas antarabangsa telah menyumbang kepada kejayaan England menuju ke Rio, dengan mengambil kira penampilannya dalam tiga perlawanan penting iaitu menentang Poland, Montenegro dan Ukraine di tempat lawan adalah yang paling sukar terpaksa diharungi Three Lions. – AFP