Harimau Muda seri perlawanan pertama

JURULATIH skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee mengakui betapa ramalannya tepat apabila faktor fizikal menjadi cabaran utama anak-anak buahnya bagi mengharungi Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland.

Pada aksi pembukaan NPL Queensland semalam, skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara itu bernasib baik berjaya meraih satu mata apabila seri 3-3 dengan Moreton Bay United.

Biarpun gagal meraih kemenangan, Kim Swee tetap gembira dengan keputusan tersebut sambil memaklumkan, barisan pemain muda kini semakin bersemangat untuk beraksi di Queensland, Australia.

“Seperti yang saya jangkakan, faktor fizikal (pemain lawan) yang lebih besar dan agresif menjadi cabaran utama buat pemain-pemain muda negara.

Harimau Muda meraikan jaringan gol bersama penyokong Malaysia yang hadir

“Intensiti perlawanan hari ini (semalam) juga cukup tinggi sehinggakan para pemain saya tiada masa untuk mengawal bola lebih lama.

“Apa pun, saya sangat gembira dengan persembahan barisan pemain kerana kebanyakan mereka pertama kali diturunkan bersama skuad Harimau Muda A.

“Mereka telah menunjukkan prestasi yang cukup baik,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Gold Coast, Australia semalam.

Dalam aksi itu, Mohd. Ridzuan Abdunloh, Mohd. Amirul Hisyam Awang Kechik dan D. Saarvindran masing-masing menjaringkan satu gol buat Harimau Muda A.

Dalam perlawanan tersebut, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee terlebih dahulu berada di depan seawal minit ke-10 menerusi jaringan Mohammad Ridzuan Abdunloh, namun Ryota Nakaooka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menerusi tandukan.

Lapan minit kemudian, giliran Moreton Bay berada di depan menerusi kapten, Royce Brownlie yang mudah menolak bola muntah hasil percubaan Matthew Capelo, menewaskan penjaga gol, Mohd. Firdaus Muhamad.

Ketika babak pertama berbaki tujuh minit untuk ditamatkan, Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik kembali menyamakan kedudukan 2-2.

Harimau Muda memulakan separuh masa kedua apabila D.Saarvindran menjadikan kedudukan 3-2 menerusi sepakan penalti pada minit ke-65, namun Brownlie muncul penyelamat Moreton Bay dengan meledak gol penyamaan.

Di sebalik kejayaan meraih satu mata, Kim Swee turut menggesa agar barisan pemainnya agar tidak cepat berpuas hati dan menuntut mereka memperbaiki beberapa kelemahan ketika beraksi di atas padang.

“Pemain harus kurangkan peluang pihak lawan membuat hantaran jauh terutama hantaran silang.

“Kami juga kena cepat menukar corak permainan kerana dalam NPL, faktor fizikal pemain pasukan lawan akan menjadi cabaran buat skuad muda negara,” katanya.

Selepas aksi menentang Moreton Bay United, Harimau Muda A dijadualkan bertemu Redlands Utd minggu depan. – Kosmo

Highlights – LIKE Facebook untuk highlights terkini