Harimau Muda alami kekalahan pertama di Liga NPL

Skuad Harimau Muda A mengalami kekalahan pertama di Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland selepas tewas 2-1 kepada Sunshine Coast Fire di Stadium Stockland yang terletak di utara Brisbane, Australia, semalam.

Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee berkata, kesukaran dialami jentera serangannya untuk melakukan percubaan dan merobek gawang lawan berikutan strategi bertahan lawan yang menutup segenap ruang.

Lima perubahan

“Pasukan lawan bertahan separuh padang dan bermain secara serangan balas kerana mereka mengetahui daripada dua perlawanan lalu yang kita beraksi menggunakan kelajuan.

“Cuma saya sedikit kecewa kerana jika tak dapat jaringkan gol, sepatutnya kita mencuri satu mata. Tapi penjaga gol, Firdaus Muhamad melakukan kesilapan mudah apabila sepakan golnya yang lemah berjaya dipintas lawan untuk gol kedua. Saya tak boleh terima kesilapan mudah seperti ini,” kata Kim Swee ketika dihubungi di Brisbane, petang semalam.

Kim Swee melakukan lima perubahan daripada kesebelasan yang menewaskan Redlands United 5-2, minggu lalu dengan memberi peluang beraksi kepada Firdaus, Fandi Othman, Amer Saidin, Adam Nor Azlin dan penyerang berusia 17 tahun, Jafri Firdaus Chew.

Sunshine Coast mendahului menerusi jaringan Matt Needham pada minit ke-14 sebelum Jafri menyamakan kedudukan pada minit ke-22. Namun kesilapan Firdaus dihukum Shiochi Koshimizu untuk gol kedua tuan rumah, minit ke-66.

Highlights – LIKE Facebook untuk highlights terkini