Harimau Malaya gembira dalam duka

SKUAD Harimau Malaya menewaskan Yaman 2-1 pada aksi terakhir kelayakan Kumpulan D di Stadium Thahnon Mohamed, Al Ain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.

Namun Malaysia gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 apabila slot pasukan ketiga terbaik keseluruhan menjadi milik China. Walaupun dikalahkan Iraq dengan jaringan 3-1 dalam aksi Kumpulan C, tetapi mereka merupakan pasukan di tempat ketiga terbaik.

Yaman berpeluang mendahului permainan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-9 tetapi penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan Wahid Mohammed Al-Khyat.

Pemain sayap Mohd Amri Yahyah membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada minit ke-16 selepas menyambar bola lantunan sepakan percuma Mohd Hafiz Kamal.

Yaman hampir mengikat kedudukan pada minit ke-57 namun tandukan Mohammed Abdullah Al Sasi terkena tiang biarpun Khairul Fahmi sudah tertewas.

Bagaimanapun usaha pasukan tuan rumah akhirnya berhasil apabila Mohamed Al Sarori yang tidak dikawal melepaskan rembatan yang menggegar gawang negara.

Gol kemenangan Malaysia dijaringkan pemain gantian Ahmad Fakri Saarani yang menolak masuk sepakan percuma Mohd Nazrin Nawi pada minit ke-77.

Berikutan kemenangan itu, Malaysia mengakhiri kempen kelayakan Kumpulan D di tangga ketiga dengan tujuh mata.

Highlights – LIKE Facebook untuk update highlights perlawanan lain dan terkini