Hajat Brendan hampir pasti sertai Red Warriors

KOTA BHARU – Hasrat pemain kelahiran Australia, Brendan Gan untuk menyarung jersi The Red Warriors hampir menjadi kenyataan apabila dia memperoleh taraf kerakyatan negara ini selepas menerima kad pengenalan kelmarin.

Berita gembira tersebut disahkan oleh Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi status Facebook miliknya kelmarin.

“Tahniah Brendan Gan, dia telah menerima kad pengenalan Malaysia hari ini (kelmarin) secara rasmi.

“Dia akan memulakan latihan dengan skuad The Red Warriors minggu depan,” katanya dalam status tersebut.

Sebelum ini KAFA berusaha mendaftarkan bekas penyerang import Sabah musim 2012 itu sebagai pemain tempatan namun ditolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana peraturan FAM menetapkan mana-mana pemain yang didaftarkan selaku pemain tempatan perlu mempunyai kad pengenalan atau pasport Malaysia.

Tonggak tengah itu pernah meng­anggotai skuad Sydney FC dalam Liga Australia pada 2008 hingga 2011.

Kehadiran Brendan dijangka memberikan pilihan kepada jurulatih Kelantan, Steve Darby untuk menyediakan ramuan terbaik buat The Red Warriors.

Sementara itu, Setiausaha Agong KAFA, Azman Ibrahim berkata, pendaftaran pemain tersebut akan dibuat pada 23 Mac ini, iaitu pada tarikh pintu perpindahan kedua pemain dibuka.

Menurut Azman, sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan oleh FAM, Gan dijangka mula beraksi bersama The Red Warriors sebaik sahaja urusan pendaftaran selesai. – Utusan