FAM tetap bicarakan kes Larkin

INSIDEN ‘Terowong Larkin’ akan tetap dibicarakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meskipun Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) tidak menjawab surat pertuduhan kes berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak berkata, pihaknya tetap meneruskan perbicaraan biarpun tidak menerima sebarang jawapan daripada PBNJ selewat-lewatnya tengah hari esok.

“Buat masa ini, pihak kami masih belum menerima jawapan daripada PBNJ berhubung surat pertuduhan berkenaan.

“Namun, PBNJ masih memiliki masa untuk menjawab surat pertuduhan itu selewat-lewatnya pukul 12 tengah hari pada 12 Mac (esok).

“Jika surat pertuduhan itu gagal dijawab PBNJ mengikut tempoh yang ditetapkan, perbicaraan tetap diteruskan dan satu tarikh akan dikenal pasti bagi memulakan perbicaraan kes berkenaan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Minggu lalu, satu surat pertuduhan telah dikeluarkan FAM terhadap PBNJ gara-gara gagal menjamin keselamatan pegawai dan pemain di stadium itu ketika aksi pusingan kedua Piala FA antara Johor DT dan T-Team bulan lalu.

Justeru, PBNJ diberikan tempoh selama seminggu sehingga pukul 12 tengah hari esok bagi menjawab surat pertuduhan itu mengikut Kod Tatatertib 28.1 kerana gagal menjamin keselamatan hasil siasatan pihak Sekretariat FAM baru-baru ini.

Jika sabit kesalahan, Johor DT selaku tuan rumah boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atas kesalahan kelonggaran keselamatan ketika perlawanan itu.

Mengulas lanjut, Taufek memberitahu pihaknya juga akan mengenal pasti tarikh perbicaraan sebenar mengikut kelapangan ahli Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu sebelum bersidang dan membuat sebarang kata putus.

“Pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM boleh menentukan tarikh perbicaraan sekurang-kurangnya dua jam selepas menerima jawapan (daripada PBNJ).

“Namun, tarikh perbicaraan bergantung kepada kelapangan kesemua ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk bersidang, mungkin ia memakan masa dan akan ditetapkan dalam tempoh selewat-lewatnya sebulan,” jelas beliau.

Ketika ditanya apakah tindakan yang bakal diterima PBNJ sekiranya gagal menjawab surat pertuduhan itu sebelum tengah hari esok, jelas Taufek: “Itu semua bergantung kepada keputusan ahli Jawatankuasa Tatatertib.

“Buat masa ini, pihak kami menunggu jawapan bertulis secara rasmi daripada PBNJ terlebih dahulu.”

Pada 1 Februari lalu, insiden kekecohan itu berlaku di dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin selepas tamat aksi babak pertama.

Ekoran insiden tersebut, T-Team bertindak menarik diri dan enggan meneruskan aksi babak kedua selepas pemain import dan jurulatih kecergasan, Elvado Rodrigues dan Stefano Impagliazzo mendakwa mereka dikasari ketika menuju ke bilik persalinan stadium berkenaan.

Biarpun T-Team mengemukakan laporan rasmi berhubung insiden tersebut, FAM memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Johor DT selepas FAM mendapati alasan keselamatan yang diberikan oleh The Titans tidak kukuh.

Kedua-dua pasukan juga membuat laporan polis berhubung insiden itu. – Kosmo