FAM perlu lebih masa siasat insiden terowong Larkin

Kuala Lumpur: “Kes terowong Larkin itu memerlukan penelitian dan mungkin membabitkan ramai saksi, jadi perlukan sedikit masa.”

Itu alasan diberikan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Taufek Abdul Razak ketika menepis dakwaan jawatankuasa itu melengah-lengahkan perbicaraan kes berprofil tinggi membabitkan insiden pergaduhan dalam terowong Larkin.

Selepas lebih sebulan insiden pergaduhan membabitkan pemain dan pegawai T-Team serta Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin berlaku, kes itu masih belum ada penyelesaian.

FAM mengeluarkan surat pertuduhan kepada Johor DT menerusi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) atas kesalahan gagal menyediakan kawalan keselamatan di bawah Artikel 28.1 dan pihak pengurusan skuad Harimau Selatan itu kemudian menjawab surat pertuduhan berkenaan Isnin lalu.

Taufek mengesahkan beliau masih belum meneliti surat penjelasan Johor DT itu dan menjangkakan kes terowong Larkin itu akan dibicarakan minggu depan selepas beberapa lagi kes yang lebih awal diselesaikan.

“Jawatankuasa Tatatertib akan bermesyuarat esok (hari ini) tapi tidak membincangkan mengenai kes terowong Larkin.

Saya belum melihat surat penjelasan Johor DT itu dan mungkin saya akan meneliti surat itu esok (hari ini).

Jawatankuasa Tatatertib perlu menyelesaikan beberapa kes lain dulu dan saya jangka kes terowong Larkin ini akan dibawa pada mesyuarat minggu depan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau memberi jaminan pihaknya akan mengendalikan kes itu dengan telus dan tidak teragak-agak mengheret mana-mana individu yang terbabit dalam insiden itu.

“Siapa yang terbabit kami akan panggil, tiada pengecualian,” tegasnya.

Kontroversi tercetus di Stadium Larkin apabila didakwa berlakunya pergaduhan dalam terowong ketika pemain dan pegawai Johor DT dan T-Team menuju ke bilik persalinan selepas tamat babak pertama dengan pasukan tuan rumah mendahului 2-1.

The Titans bertindak menarik diri daripada babak kedua perlawanan selepas mereka mendakwa pemain import Elvado Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari pegawai tertinggi Johor DT.

Sementara itu, Taufek mengesahkan Jawatankuasa Tatatertib akan bersidang hari ini untuk membicarakan kes salah laku penyokong membabitkan enam pasukan antaranya Pahang, Kedah, Perak dan Sarawak yang bertindak membakar suar dan mercun, membaling bom asap, menceroboh ke dalam stadium serta menghina FAM dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia.

Selepas kes itu, Jawatankuasa Tatatertib sekali lagi akan bermesyuarat bagi membicarakan kes penyerang import Johor DT Pablo Aimar dan Luciano Figueroa yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pertahanan Pahang dari Jamaica, Damion Stewart selain kes pergaduhan penyokong Pahang dan Johor DT di luar Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 Februari lalu dan insiden penyokong Johor DT didakwa memecahkan cermin kereta pengurus Perak Datuk Azhar Ahmad, Januari lalu. – HMetro