FAM Belum Putus Kedudukan Kim Swee Sebagai Jurulatih Harimau Malaya

PETALING JAYA, 7 Mac — Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum membuat sebarang keputusan berhubung status Datuk Ong Kim Swee selaku jurulatih Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata sehingga Jumaat keputusan mesyuarat exco badan induk bola sepak itu masih sama iaitu Kim Swee ditugaskan untuk membimbing skuad Harimau Malaya sehingga perlawanan terakhir menentang Yemen pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015.

Malaysia meraih kemenangan 2-1 ke atas Yemen, bagaimanapun gagal melayakkan diri ke Piala Asia 2015 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu.

Beliau menyifatkan kemenangan serta kecemerlangan pengendali sementara skuad negara itu sebagai satu permulaan terbaik.

“Keputusan mesyuarat exco masih sama (Kim Swee sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya). Saya sependapat dengan komen Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini tentang prestasi pasukan kita.

“Pada perlawanan Malaysia menentang Yemen, pemain bermain bersungguh-sungguh walaupun dengan 10 pemain. Kita bertuah kerana menang perlawanan itu tetapi agak kecewa juga kerana tidak layak ke Piala Asia.

“Kemenangan itu juga merupakan satu permulaan yang baik hasil kerja keras Kim Swee dan anak buahnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini Jumaat.

Khairy dalam laporan media hari ini memuji kegigihan pemain dan kecemerlangan Kim Swee selaku jurulatih yang memberikan kemenangan kepada negara walaupun gagal melayakkan diri ke Piala Asia 2015. – Bernama